PETALING JAYA: Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan telah menggempur Bazaria Wangsa Maju dalam Op Gasak Siri 1/2025 semalam bagi membanteras aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa lesen serta tidak memenuhi syarat.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menerusi operasi itu, enam gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun manakala 12 tindakan sitaan diambil terhadap penjaja warga asing.
“Hasil operasi di Bazaria Wangsa Maju, sebanyak enam gerai dan penjaja tanpa lesen dikenakan kompaun, 12 tindakan sitaan dikenakan terhadap penjaja warga asing, lima gerai ditutup serta-merta, serta dua kes penundaan ‘food truck’ yang dikendalikan oleh warga asing.
“Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen Malaysia turut menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing dengan 35 orang telah ditahan kerana didapati melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen sah atau menyalahgunakan permit kerja,” kata DBKL menerusi kenyataan.
Selain itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah mengeluarkan tiga kompaun terhadap gerai yang disyaki melanggar peraturan perdagangan serta berkaitan isu hak cipta dan barangan tiruan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Sementara itu, penjaja yang melanggar syarat lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
“Operasi Gasak ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan kondusif untuk semua,” katanya.-UTUSAN