SHAH ALAM: Kerajaan melalui Khazanah Nasional (Khazanah) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membangunkan kawasan sepanjang dari Bangunan Sultan Abdul Samad hingga Carcosa Seri Negara sebagai Warisan Kuala Lumpur dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion.
Kawasan tersebut juga meliputi Dataran Merdeka dan bangunan Keretapi Tanah Melayu sebagai usaha memelihara dan memulihara tapak bernilai sejarah tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada pagi semalam dan mengarahkan perkara tersebut dibentangkan oleh Khazanah bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pagi tadi pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kita minta Khazanah dan bandar raya (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)) menerangkan seluruh kawasan Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu sampai Carcosa dijadikan seluruhnya Kuala Lumpur Heritage, warisan.
“Bangunan Sultan Abdul Samad yang dahulu Sultan Selangor, dikekalkan sebagai tanda warisan Kesultanan Melayu yang agung suatu ketika dahulu,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Selangor 2025, malam tadi.
Jelasnya, ia sebagai usaha mengangkat semangat Perlembagaan dengan mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu dan raja-raja, tanpa mengenepikan kewujudan kebudayaan bangsa lain di negara ini.
“Tetapi, sebagai satu negara pelbagai kaum, kita kena pastikan ada kawasan-kawasan yang mana dikembangkan dan ditunjukkan penyertaan budaya Cina, India, Iban, Kadazan sama.
“Tetapi kena ingat, pertama kali dalam sejarah, sepanjang laluan, bermula RM1 bilion awal oleh Khazanah, kita kekalkan satu Warisan Kuala Lumpur yang begitu besar,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar yang juga presiden PKR memaklumkan kerajaan menggazetkan kira-kira 20.2 daripada 161.9 hektar tanah di Sungai Besi sebagai tanah rizab Melayu.
“Saya bercakap di Parlimen, sejak merdeka 1957, tanah Sungai Besi yang kita ambil balik daripada syarikat asing, sekarang jadi milik kerajaan lebih 400 ekar.
“Pertama kali kita isytiharkan 50 ekar tanah berharga di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu. Kita terangkan kepada kawan-kawan,” ujarnya. – UTUSAN