Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Peribahasa itu jelas menggambarkan kesan yang ditanggung pempengaruh, Imran Bard mengenai tindakannya yang memperlekehkan aktres berpengalaman dan disegani, Ellie Suriaty Omar menerusi video-video parodi yang dihasilkan dan dimuat naiknya di media sosial, baru-baru ini.
Isu yang tercetus ini terus hangat diperkatakan ramai pihak. Netizen, pempengaruh dan golongan artis bersuara melontarkan pandangan masing-masing mengenainya. Akibatnya, tercetuslah perdebatan dan perbalahan yang tidak berkesudahan.
Imran terkenal dengan video-video parodinya, malah sebelum ini pempengaruh ini pernah beberapa kali mencipta kontroversi menerusi kandungan-kandungannya media sosialnya sebelum ini yang ada antaranya menyentuh sensitiviti dan menormalisasikan budaya negatif.
Namun kali ini, langkah yang salah itu mengundang bahana. Salah seorang figura yang dipetik dan diperlekehkan menerusi video parodinya baru-baru ini adalah seorang aktres yang ketika permulaannya dalam dunia seni, bertekad mahu menjadi tulang belakang industri kreatif itu sendiri.
Kalau bercakap mengenai Ellie seorang pejuang seni, beliau antara segelintir yang menguasai tiga medium seni kreatif, iaitu drama teater dan filem. Beliau juga seorang tenaga pengajar
seni persembahan dan lakonan yang mengasah dan mendidik ramai anak seni, baik pelakon dan penyanyi.
Harus diingat juga, beliau juga beberapa kali dipilih sebagai juri Festival Filem Malaysia (FFM) Anugerah Skrin dan beberapa program seni tanah air yang lain. Prolifik itu tidak mudah diraih aktress berusia 53 tahun ini, dan ia tidak berlaku semalaman, sebaliknya memakan masa dan pengorbanan bertahun-tahun lamanya.
Jadi, disebabkan itu, tidak mungkin beliau sesekali membiarkan seorang pempengaruh hingusan memperlekehkan, mempermain dan memperkotak katikkan nama serta imej dan jenama yang dibina beliau sekian lama.
“Adalah amat menyakitkan apabila seseorang yang saya tak kenal, hidup dia saya tak pernah ganggu, periuk nasi dia saya tak pernah kacau, tiba-tiba membuat fitnah dan mengaibkan saya. Dalam dunia seni, nama saya tak pernah dibenci sebelum ini. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan video-video yang dibuatnya mengenai saya. Saya tak kenal dia, tak pernah jumpa pun dia ini.
“Reputasi saya sebagai penggiat seni, yang saya jaga dengan cermat, kemas, yang dibina hasil titik peluh dan air mata serta pengorbanan selama bertahun-tahun begitu sahaja diperkotak katikkan. Saya merasa sakit itu saya, bukan orang lain. Tindakannya itu adalah serangan saraf buat diri saya dan industri seni secara amnya. Saya kecewa bila reputasi saya cuba dicalar.
“Serangan ini bukan sahaja ditujukan kepada saya, tapi kepada industri kreatif secara amnya.
Saya tak boleh biarkan ia begitu sahaja dan saya tak mahu ia berlaku kepada anak seni yang lain. Kalau saya tidak bertegas untuk tamatkan serangan ini atau langsung tidak bertindak, maksudnya saya membenarkan perkara yang sama berlaku kepada penggiat seni yang lain. Jadi, dengan apa cara sekalipun, saya harus menoktahkannya.
“Tidak mungkin dengan mudah saya katakan ‘tak apalah, ini cuma gurauan’. Mana mungkin saya biarkan orang persendakan maruah saya. Ada yang kata tindakannya memperlekehkan saya sebagai jenaka, bagi saya, tidak. Ia tidak dibuat dalam nuansa komedi pun,” katanya.
IKUT TUNTUTAN KALAU MAHU MINTA MAAF
Ellie memaklumkan kepada saya, Imran baru-baru ini Imran telah menyatakan kesediaan untuk berjumpa beliau bagi meminta maaf atas kesalahannya secara tertutup. Kata Ellie, dia menyokong, permudahkan dan bagi peluang sekiranya pempengaruh media sosial itu mahu bertanggungjawab .
“Sebelum Ramadan saya nyatakan kepada dia saya boleh berjumpa dia. Malah saya cadangkan untuk berjumpa pada hari dia pada hari tu juga tapi katanya dia di kampung. Baik, saya faham.
“Bila saya tanya bila agaknya dia nak jumpa, katanya dalam bulan Ramadan. Okey, kita tunggu dan lihat, adakah selesai di bulan mulia ini, atau ia berlanjutan ke bulan syawal dan seterusnya pula? Semoga allah swt permudahkan,” katanya.
Namun tegas Ellie, kemaafan yang dipohon haruslah bersyarat. Ia sepatutnya dibuat dengan penuh keikhlasan, beradab seperti yang berkali-kali dikatakannya sebelum ini.
“Kalau dia nak minta maaf, haruslah dia ikut tuntutan saya, ikhlas berjumpa saya. Pada saya, nilai kemaafan itu besar, sebab itu saya terkilan apabila ada yang mengatakan ‘dia sudah minta maaf, cukuplah’. Saya tambah kecewa apabila sebilangan besar generasi sekarang yang tidak menganggap maaf itu penting, menganggap cukuplah minta maaf guna media sosial, rakam dan buat live.
“Siapa ajar kita minta maaf guna telefon? Siapa yang menormalisasikannya? Islam tak ajar kita begitu. Saya dan dia bukannya tinggal di benua yang berlainan, sebaliknya di atas tanah yang sama, jarak kami tidaklah jauh pun. bukan dia tinggal di sabah sarawak.
“Kemaafan menjadi murah bila ia diperlekeh dan diringankan. Jika kita berdosa kepada tuhan
Allah ampunkan syaratnya kita bertaubat. Tapi kalau anda menzalimi, menyakiti manusia lain, dan kemaafan itu tidak diterima, maka merangkaklah cari saya di Padang Mahsyar.
“Saya tegaskan sekali lagi, kalau dia nak minta maaf, buatlah seperti mana yang saya tuntut.
Datang jumpa saya, bertemu empat mata, jumpa batang tubuh orang yang dia zalimi ini, tegasnya.
TIDAK AKAN REDA DAN IZINKAN
Dalam perbualan kami, Ellie berkali-kali menegaskan dia tidak akan sesekali mengizinkan dan tidak akan pernah reda dengan apa sahaja rezeki yang dinikmati Imran dengan cara merosakkan nama baik aktres tersebut.
“Nama kita ini tidak boleh dipermainkan begitu sahaja. Stesen televisyen pun, kalau nak pakai nama orang lain akan bertanya dan minta keizinan kepada pemilik nama itu sendiri kerana mereka masih ada rasa hormat di situ.
“Apa pun, jika isu saya dengan pempengaruh itu berlanjutan, saya serahkan kepada Persatuan Seniman untuk selesaikannya. Saya kena bagi ruang kepada persatuan untuk bertindak. Keputusan ini akan diambil bila tiba masanya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ellie juga berharap perkara yang berlaku ini dapat dijadikan pedoman dan iktibar Imran dan semua pihak.
“Hidup setiap hamba Allah itu berharga. Tuntutan saya terhadap dia bukan untuk memperlekehkan sesiapa. Saya harap dia belajar daripada kesilapannya. Pasti ada hikmahnya.
“Tapi kalau hikmah itu pun dia tak nampak, maknanya dia tidak belajar untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Jadi kalau dia benar-benar ikhlas nak meminta maaf, maka datanglah berjumpa saya,” katanya.