SHAH ALAM: DAP menyatakan komitmennya untuk membantu UMNO mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sudah menjadi kebiasaan parti komponen Kerajaan Perpaduan saling membantu dalam memenangi PRK.
Oleh itu, kata beliau, jentera DAP akan diturunkan semasa PRK Ayer Kuning.
“Dalam mana-mana PRK pun yang melibatkan parti di dalam Kerajaan Perpaduan, akan kita (DAP) bantu.
“Seperti mana mereka (UMNO) bantu kita di Kuala Kubu Baharu, kita juga akan bantu di Ayer Kuning,” katanya semasa sidang akbar di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini.
Terdahulu, media melaporkan, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK) Dewan Ayer Kuning pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
PRK Ayer Kuning merupakan PRK yang ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan iaitu PRK terakhir sebelum ini adalah di DUN Mahkota.
Ia diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai hubungan DAP dengan UMNO, Anthony berkata, ketidakhadiran pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama UMNO dalam Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 hari ini bukan petanda hubungan antara dua parti itu renggang.
Katanya, perhimpunan kali ini hanya menjemput parti komponen Pakatan Harapan (PH) sahaja.
“Bukan kita ada apa-apa masalah, cuma kadang-kala (kita mahu) melibatkan komponen kita sendiri.
“Ini perkara biasa, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pun mengadakan perhimpunan mereka sendiri, BN juga mengadakan perhimpunan mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN