SHAH ALAM: DAP perlu membina satu mekanisme penilaian calon yang lebih sistematik dan telus bagi menangani masalah dalaman parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, masalah dalaman parti perlu ditangani dengan kadar segera sebelum ia bertukar menjadi pandemik lalu sekali gus memberi kesan negatif.
“Dalam pemilihan sudah tentu ada pergaduhan dan pertikaian apabila mereka tidak terpilih, saya melihat simptom-simptom ini mula timbul dalam parti. Sebagai Setiausaha Agung, saya tidak boleh membiarkan ‘penyakit’ ini menjadi pandemik.
“Sebelum ia menjadi pandemik, mesti ada ‘vaksin’. Itu sebabnya saya hendak membawa perubahan dan Reformasi dalam parti. Kita mesti membina mekanisme penilaian calon yang sistematik dan telus, biar semua orang tahu mengapa mereka dipilih atau tidak dipilih,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, beliau turut mahu menginstitusikan Jawatankuasa Pemilihan Calon dalam perlembagaan parti.
“Kita tidak akan membuat pindaan pada hari ini, kita perlu membahaskan dan membincangkan ia lagi serta mencari mekanisme terbaik.
“Dalam tempoh 18 bulan, ini antara kerja yang mesti diselesaikan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baharu dan bawa balik untuk pindaan perlembagaan parti dalam Konvensyen Kebangsaan DAP 2026,” katanya. – UTUSAN