SHAH ALAM: Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun diharap dapat direalisasikan kerajaan hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu terkandung dalam tawaran manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.
“Kita bukan minta Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti (jadi Perdana Menteri) tetapi kita nak mengadakan satu pindaan ini supaya ia menjadi legasi beliau iaitu membawa reformasi dalam sistem pentadbiran negara kita.
“Kita juga nak menegaskan bahawa DAP komited dalam menyokong Anwar untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, DAP akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melaksana pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya.
“Ini merupakan usaha berterusan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN