Dakwaan tarik sokongan, usaha rosakkan perpaduan dalam BN

Dakwaan tarik sokongan, usaha rosakkan perpaduan dalam BN

ZAMBRY Abdul Kadir ketika ditemui pemberita selepas Program Karisma Pemikir Madani Siri 5, di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Bandar Baru Enstek, Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dakwaan bahawa terdapatnya 14 Ahli Parlimen dari UMNO yang akan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan seperti tersebar di media sosial adalah tidak benar.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, dakwaan sebegitu dilihat hanyalah mahu merosakkan perpaduan dalam kalangan ahli parti itu.

“Sekiranya berlaku saya sebagai Setiausaha Agung BN sudah pun mengetahui. Jadi jangan kita dengarlah ini, saya fikir ini adalah ‘mainan’ mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.

“Ini dalam usaha mereka untuk merungkaikan perpaduan dan ketahanan yang ada dalam kalangan ahli-ahli parlimen BN yang sekarang ini begitu baik dan mantap bersama di dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Karisma Pemikir Madani Siri 5, di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), Bandar Baru Enstek di sini hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata, program Karisma Pemikir Madani adalah bertujuan membangunkan bakat dan juga kepimpinan di semua peringkat university termasuk pentadbir dan juga pensyarah.

“Kami memberi tumpuan dalam konteks pensyarah muda dan di sinilah mereka berinteraksi termasuk dengan Menteri dan juga dengan pakar-pakar supaya dapat menunjukkan dari segi kompetensi, sekali gus dapat membangunkan satu budaya baharu dalam universiti,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, program itu juga adalah sebagai platform perbincangan di peringkat lembaga-lembaga universiti, pengerusi universiti yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk korporat.

“Kita ada Tan Sri Wahid Omar, Tan Sri Azman Mokhtar. Ini adalah tokoh besar yang ada dalam dunia korporat yang boleh membantu universiti.

“Bilangan universiti sudah bertambah dan perbelanjaan pengurusan juga semakin bertambah setiap tahun maka universiti tidak boleh lagi mengharapkan 100 peratus sumber itu daripada pihak kerajaan.

“Di peringkat universiti juga telah pun mempunyai model-model kewangan mereka. Kami memberikan ruang kepada lembaga universiti sendiri untuk memikirkan langkah yang terbaik untuk mereka mencari sumber kewangan mereka, antaranya yang kami syorkan ialah melalui (syarikat) pegangan (holding) universiti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya