PETALING JAYA: Tiga anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sudah ditukar ke jabatan lain susulan dakwaan mereka membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan pemerasan ketika Ops Tapis, di Damansara di sini, tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan tatatertib sudah dibuka dan disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Anggota yang terlibat dalam kejadian itu juga sudah dikeluarkan dari BSJN IPD Petaling Jaya serta merta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah merakam keterangan tiga anggota polis dari IPD Petaling Jaya susulan dakwaan mereka membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan pemerasan ketika Ops Tapis, di Damansara di sini, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya mengambil keterangan tiga anggota yang terlibat dalam serbuan itu.
Terdahulu pada 19 Februari lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan anggotanya membuat serbuan tidak mengikut SOP serta melakukan pemerasan ketika Ops Tapis, di Damansara di sini, tahun lalu.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan dan video tular melalui aplikasi media sosial Facebook (FB) kira-kira pukul 1 petang.
Beliau dilaporkan berkata, kandungan berkenaan yang dimuat naik oleh pemilik akaun ‘En Abdul’ memaparkan video serbuan dilakukan oleh empat anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya.
“Polis mengesahkan serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara.
“Kejadian video tular itu berlaku pada 10 Oktober 2024 ketika melakukan Ops Tapis di kawasan Damansara,” katanya.
Sebelum ini, tular kenyataan oleh pemilik akaun FB mendakwa diperas ugut empat anggota polis yang datang ke kediamannya dan bertindak memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) serta melakukan pemerasan. – UTUSAN