PETALING JAYA: Dakwaan yang membabitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkaitan pemberian kelulusan kewarganegaraan kepada rakyat China adalah fitnah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, tuduhan itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab, mengganggu gugat keselamatan dan keamanan rakyat dalam negara.
“Sepanjang tahun lalu, saya banyak memberi penjelasan berhubung perkara itu, namun masih ada pihak membuat fitnah dengan permainan sentimen berbaur isu raja, kaum dan agama (3R),” katanya menerusi kenyataan.
Susulan itu, Saifuddin menggesa rakyat mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat, sebelum maklumat itu dikongsi kepada pihak lain.
“Saya ingatkan juga pihak menularkan fitnah dan berita palsu ini sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN