Dak Nor bangkit dari gelaran ‘gila’, terima Anugerah Kasih

Dak Nor bangkit dari gelaran ‘gila’, terima Anugerah Kasih Wanita Cekal

NOR KAMARIAH Mohd. Khalid Lourdes Lio menunjukkan anugerah yang diperolehinya kepada Mohd. Noor Helmy Abdul Halem di Japerun Duyung, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pernah dilabel sebagai orang gila dan beberapa kali ditahan polis, kini Nor Kamariah Mohd. Khalid Lourdes Lio, 41, atau lebih dikenali sebagai Dak Nor bangkit membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam kehidupan.

Malah, semangat juangnya diiktiraf apabila dia menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal 2025 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Mengimbas kembali detik hitam dalam hidupnya, Dak Nor mengakui, pernah mengalami gangguan mental akibat tekanan hidup dan kegagalan dalam percintaan.

“Saya dilahirkan dalam keluarga miskin dan pernah disahkan sebagai pesakit mental. Saya masih ingat kata-kata orang, ‘ah, budak gila ni, jangan dilayan. Hantar saja ke hospital gila, menyusahkan orang’.

“Ketika itu, tiada siapa peduli. Namun, segalanya berubah selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem hadir memberi dorongan dan membantu saya kembali ke landasan yang betul,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong di sini, hari ini.

Berkat usaha dan sokongan masyarakat, Dak Nor berjaya berdikari dengan menjana pendapatan sendiri menerusi perniagaan makanan, menjual biskut raya di bazar Aidilfitri serta menggunakan platform TikTok untuk melariskan jualan.

Meskipun masih mendapatkan rawatan berkala di Hospital Melaka, Dak Nor menegaskan bahawa penyakit mental bukanlah penghalang untuk seseorang berubah dan menjadi lebih baik.

“Anugerah ini bukan untuk dimegahkan, tetapi sebagai bukti bahawa sesiapa sahaja boleh bangkit jika diberi peluang dan dorongan. Jangan hina pesakit mental, sebaliknya berikan mereka semangat dan doa yang baik,” ujarnya.

Dak Nor bertekad, tidak hanya mahu terus maju dalam perniagaan, tetapi turut membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Saya berharap kisah saya dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib. Tidak kira sebesar mana ujian, selagi ada usaha dan doa, pasti ada sinar di hujung jalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya