BANGI: Penggunaan dadah zombi yang dikatakan 100 kali lebih kuat daripada morfin atau dikenali sebagai fentanyl dipercayai sudah mula dikesan dalam pasaran Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, program kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menemukan dadah tersebut melalui rangka kerja pakej satu membabitkan analisis air kumbahan di Lembah Subang.
Katanya, pihak polis percaya terdapat kemungkinan kewujudan makmal dadah berhampiran lokasi terbabit.
“Dalam kerjasama ini, terdapat enam pakej kerja yang dirangka, salah satu daripadanya adalah analisis residu dadah dalam air kumbahan yang kita berjaya menemui dadah seperti methampetamine dan fentanyl.
“Seperti fentanyl, sebelum ini ia (sampel) diambil di Lembah Klang malah dan kita dapati ia turut dikesan di Johor. Kita dapati ada trend (penggunaan fentanyl), ini belum kita ambil satu Malaysia lagi.
“Malah, fentanyl turut dikesan daripada satu sampel urin yang diambil apabila terdapat 57 jenis dadah daripadanya, fentanyl antara ditemukan,” katanya.
Beliau berkata ketika sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM di Bangi di sini hari ini.
Menurut Ayob Khan, analisis air kumbahan mampu membantu pasukan risikan dan operasi JSJN bagi mengesan kewujudan makmal dadah di lokasi dikenal pasti.
“Ini baru peringkat awal, melalui analisis air kumbahan ini kita dapat mengesan sekiranya terdapat dadah dan membantu mengesan makmal dadah.
“Sebelum ini mungkin kita (pasukan operasi) tidak tahu di mana kita nak sasarkan (target) namun melalui ini (analisis air kumbahan) kita dapat mengenal pasti lokasi. Dengan fakta ini, ia akan memudahkan risikan dan operasi,” katanya.
Selain itu, Ayob Khan berkata, kerjasama tersebut berjaya menghasilkan kit ujian biosensor yang lebih cepat dan tepat selain berpotensi untuk dikomersialkan di dalam dan luar negara.
“Melalui pakej kerja lima pula berjaya menghasilkan kit ujian biosensor yang lebih cepat dan tepat. Sebelum ini kita perlukan dua hari untuk mendapatkan laporan penuh ujian urin, namun kini hanya memerlukan 20 saat,” katanya.
Mengulas mengenai konteks kerjasama JSJN dengan UKM, beliau berkata, ini merupakan pendekatan daripada segi penguatkuasaan dan penyelidikan yang telah dijalin sejak 21 Oktober 2022.
“Sebanyak enam pakej kerja telah dirangka merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, data dan pembangunan keupayaan dengan dana kira-kira RM8.4 juta yang memberi fokus antaranya pembangunan strip ujian biosensor, pangkalan data forensik molekul serta analisis residu dadah dalam sistem kumbahan,” katanya.
Tambahnya, sembilan pegawai kanan JSJN telah dipilih untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM.
“Kita jangkakan program yang dibuat ini akan meningkatkan lagi keupayaan penguatkuasaan dan paling penting menjalin kerjasama dengan agensi luar sama ada Polis Antarabangsa (Interpol), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dan banyak lagi termasuklah perkongsian maklumat,” katanya.- UTUSAN