Cuti 70 peratus anggota bomba dibeku sempena Aidilfitri

Cuti 70 peratus anggota bomba dibeku sempena Aidilfitri

NGA Kor Ming melepaskan flag off jentera Bomba dan Penyelamat pada Pelancaran Op Siaga Raya 2025 Sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 11,500 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibekukan cuti bagi memastikan kekuatan keanggotaan adalah mencukupi untuk menghadapi sebarang insiden sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, jumlah tersebut merupakan 70 peratus daripada keseluruhan 15,000 anggota bomba di seluruh negara.

“Tahun ini, kita bekukan cuti 70 peratus anggota bomba di hampir 340 balai (jadi) semua akan bersiap sedia 24 jam.

“Hanya 30 peratus sahaja dibenarkan cuti secara bergilir untuk memastikan keseluruhan anggota kita berada di tahap yang optimum,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Ops Siaga Raya 2025 Sempena Hari Raya Aidilfitri JBPM di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba akan bersedia di 12 lokasi sepanjang jajaran lebuh raya utama negara merangkumi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang dalam Op Selamat 24 Tahun 2025 di bawah kelolaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 29 Mac hingga 3 April.

Menurut Kor Ming, sepanjang tempoh Ops Siaga Raya tahun lalu, sebanyak 1,303 panggilan kes kebakaran direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 1,068 kes pada 2023.

Jelasnya, walaupun bilangan kes menunjukkan pola peningkatan, namun JBPM berjaya mengurangkan kerugian akibat kebakaran daripada RM2.61 billion pada 2023 kepada RM1.56 billion pada 2024.

“Kita sasarkan supaya jumlah kerugian itu berkurangan daripada RM1 bilion iaitu kira-kira RM500 juta lagi (harta benda) dapat diselamatkan. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana keselamatan itu tanggungjawab bersama.

“Misalnya sebelum balik ke kampung halaman pastikan suis elektrik di rumah semua ditutup baik-baik dan pastikan kunci rumah. Di atas jalan raya pula, kena buat perancangan rapi khususnya mereka yang balik ke Pantai Timur,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengingatkan orang ramai untuk tidak bermain bunga api melebihi pukul 12 tengah malam yang boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada masyarakat.

“Kita selalu percaya bahawa langkah pencegahan adalah lebih baik (kerana) bila dah berlaku kebakaran, betapa cepat pun masa respon, kebakaran sudah (pun) berlaku.

“Oleh kerana itu, kita memerlukan kerjasama semua pihak. Kita ada undang-undang, jangan menimbulkan kacau ganggu walaupun kita tahu (bermain) mercun itu menambahkan keceriaan dan kemeriahan beraya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya