PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah tersebut penting bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Bantuan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam tetapi turut merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama dalam kalangan peniaga kecil, bazar Ramadan, dan sektor peruncitan.
“Apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil dan peniaga makanan yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, walaupun penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji, bantuan khas itu tetap dinantikan kerana ia sudah menjadi tradisi yang dihargai dan membantu dalam persiapan perayaan.
“Aidilfitri sering dikaitkan dengan peningkatan perbelanjaan, termasuk kos perjalanan pulang ke kampung, keperluan keluarga, serta persediaan pendidikan anak-anak,” jelasnya.
Katanya, sebagai tunjang utama perkhidmatan kerajaan, penjawat awam terus komited melaksanakan tugas mereka kepada negara.
Tambahnya lagi, CUEPACS berharap kerajaan meneliti permohonan itu sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan penjawat awam.-UTUSAN