KLANG: Cubaan sindiket mengambil kesempatan atas perdagangan interport di negara ini dengan menjadikan Pelabuhan Klang tempat transit dadah tumpas apabila sejumlah 626 kilogram (kg) Amfetamin bernilai RM210 juta dirampas.
Dadah tersebut ditemui dalam ruangan 25 sofa pada dua buah kontena bersaiz 40 kaki yang berada di Pelabuhan Barat sejak akhir tahun lalu sebelum Cawangan Narkotik Ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memeriksa dan menyitanya kira-kira pukul 9 malam.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Siti Mang berkata, sebanyak 3.6 juta biji pil disyaki Captigon dikesan dengan bantuan anjing pengesan dadah (APD) ketika pemeriksaan dilakukan.
“Pil-pil berkenaan disorokkan di dalam ruangan rahsia perabot yang dijumpai di dalam kontena berkenaan.
“Hasil siasatan awal, modus operandi yang digunakan iaitu mengikrarkan kedua–dua kontena itu sebagai perabot yang dibawa masuk dari negara Timur Tengah sebelum kembali dieksport ke negara di benua sama,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, tindakan menjadikan negara ini sebagai transit dipercayai untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa di sana, namun JKDM yakin terdapat individu di negara ini terlibat dalam proses tersebut dan hal berkenaan sedang disiasat.
Kata Siti, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut.
“Orang awam diseru memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barangan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM terdekat di seluruh negara,” ujarnya
Tambahnya lagi, JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – UTUSAN