Cubaan seludup syabu RM1 bilion guna lilin tumpas

Cubaan seludup syabu RM1 bilion guna lilin tumpas

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dua buah kontena berisi 166 tong disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM 1.062 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG : Cubaan sindiket antarabangsa menyeludup syabu bernilai lebih RM1 bilion yang boleh digunakan oleh seramai 166 juta penagih jika tersebar, berjaya digagalkan selepas polis merampasnya di Pelabuhan Barat pada 25 Januari lalu.

Dadah jenis methamphetamine itu disembunyikan dalam lilin parafin dan ditemui dalam 166 tong dram yang dimuatkan ke dalam dua kontena berasingan di sebuah gudang.

Kontena tersebut dibawa masuk dari Iran dan dijadikan transit di Malaysia sebelum dijadual dihantar ke Sydney, Australia.

Namun, taktik licik sindiket ini berjaya dihidu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Polis Persekutuan Australia (AFP). Pemeriksaan menyeluruh dijalankan sekitar jam 11 pagi, membawa kepada rampasan berkenaan.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, berdasarkan maklumat awal, kontena tersebut didaftarkan untuk membawa bahan kosmetik dan lilin.

Namun, pemeriksaan lanjut mendapati dua tong biru bertulisan Paraffin Wax 3-5% mengandungi bahan pepejal mampat yang disahkan sebagai methamphetamin seberat 33,200 kilogram (kg).

“Kesemua dadah yang berada di dalam ketulan besar lilin itu dianggarkan bernilai RM1.062 bilion.

“Ini merupakan rampasan terbesar polis dan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 166 juta penagih jika tersebar,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini, petang ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JSJN dan AFP masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sindiket atau organisasi antarabangsa yang terlibat dalam penyeludupan itu.

“Kita percaya dadah itu bagi pasaran Australia manakala Malaysia dijadikan sebagai transit penghantaran bahan haram tersebut,” ujarnya.
Pihaknya kini sedang mengesan syarikat yang terlibat membuat kiriman menerusi kargo kapal tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya