SHAH ALAM: Cubaan membawa keluar 17 ekor babi dari Selangor ke negeri ini gagal selepas sebuah lori yang membawa ternakan tersebut dipintas pihak berkuasa dekat Sungai Pelek, Sepang, pada Isnin lalu.
Lori tersebut dipintas pasukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor menerusi Operasi (Op) African Swine Fever (ASF) selepas pihak berkuasa berkenaan mengesan pergerakan kenderaan tersebut sebelum bertindak mengekori mereka sehingga ditahan.
Pengarahnya, Dr. Hassuzana Khalil berkata, ketika pasukannya mengekori lori terbabit, terdapat dua pacuan empat roda dipercayai ‘tonto’ cuba menggagalkan usaha JPV untuk menahan kenderaan bawa babi itu.
“Semasa mengekori lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu salah seorang suspek warga tempatan, dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max dipercayai dipandu dua ‘tonto’ warga tempatan menghalang kenderaan milik pihak berkuasa JPV Selangor.
“Bagaimanapun, pasukan JPV kemudian menghubungi Balai Polis Sepang bagi mendapatkan bantuan. Akhirnya, kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 7.15 petang di Jalan Besar, Sungai Pelak,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, susulan pemeriksaan JPV turut menemukan dua bangkai babi selain 17 ekor yang cuba dipindahkan secara haram sebelum pihaknya bertindak menyita kesemua haiwan dan kenderaan terlibat.
“Pemandu lori yang berumur lingkungan 50-an ditahan di bawah Seksyen 36, Akta Binatang 1953 (Akta 647) sementara dua tonto berusia 30-an dan 50-an ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Kesemua babi yang cuba dibawa suspek disyaki dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika atau ASF,” jelasnya.-UTUSAN