Cuaca panas, kering dijangka berlaku sekitar Mei hingga September ini

Cuaca panas, kering dijangka berlaku sekitar Mei hingga September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering diramal berlaku di kebanyakan tempat terutama di utara Semenanjung.

Ia berikutan fasa akhir monsun timur laut yang dijangka berakhir pertengahan bulan ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan berkata, bagaimanapun cuaca panas ketika ini diramal tidak seteruk tahun lalu berikutan pengaruh La Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembab.

Turut diramalkan, monsun barat daya yang membawa cuaca panas dan kering berlaku sekitar Mei hingga September.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), akan berlaku pengurangan hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding keadaan biasa di utara, pantai barat dan timur Sabah pada Mac dan di barat Sarawak pada April.

“Negara dijangka menerima taburan hujan pada paras normal pada Julai dan Ogos,” katanya.

Kenyataan sama turut memberi amaran jerebu masih boleh berlaku jika insiden pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

Jika disabit kesalahan bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun juga boleh dikenakan tidak melebihi 50 peratus denda maksimum bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan statistik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 1 Januari sehingga 24 Februari lalu terdapat 619 kes pembakaran sampah sarap direkodkan daripada keseluruhan 1,147 aduan pembakaran terbuka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya