Companion: Cinta untuk awak sahaja

Companion: Cinta untuk awak sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJUJURNYA, satu-satunya alasan mengapa saya menonton Companion adalah kerana posternya yang penuh dengan tanda tanya. Perempuan bermata putih dalam pakaian serba comel di samping seorang lelaki kacak. Tidak pasti filem ini tentang apa tapi cukup kuat memicu banyak andaian yang menggoda.

Sekali lagi, saya tidak pasti apa yang Drew Hancock akan tawarkan kerana saya tidak begitu akrab dengan seni kepengarahan dua filemnya sebelum ini iaitu My Dead Ex (2018) dan Suburgatory (2011).

Sebagai pengarah dan penulis skrip, Hancock mengejutkan saya dengan pendekatan yang tidak pernah saya bayangkan. Saya ibaratkan filem ini sebagai bongkah ais, kita hanya benar-benar faham mengenai isu sebenar jika lapis-lapis karakter itu dipecahkan. 

Filem dibuka dengan memori manis antara gadis cantik bernama Iris dengan lelaki kacak, Josh di sebuah pusat beli belah. Josh dengan sikapnya yang lucu, romantis walau sedikit cemerkap membuatkan Iris jatuh cinta. Kemudian mereka bercuti di sebuah rumah rehat tepi tasik bersama rakan Josh iaitu Cat, Patrick, Ali. Sempurna untuk sebuah filem cinta. Namun semakin filem ini berjalan, ia semakin tidak romantis sama sekali. 

Dalam kebingungan, saya menghargai bagaimana Companion berubah menjadi genre romantik ke thriller dengan kemas sekali. Iris bukanlah perempuan cantik melainkan robot yang direka khas dengan ciri-ciri sebagai teman hidup ‘Companion’ yang melayani semua inginan Josh sehinggalah di atas ranjang. Robot yang berprinsip ‘cinta untuk awak sahaja’.

Dari cinta merah ke darah

Josh bukanlah lelaki budiman, melainkan jejaka yang tidak ramai kawan, pemarah, manipulatif bak kata orang di aplikasi X,  ‘red flag’ yang berjalan. Kita kemudian bersimpati juga marah dengan Iris dalam perjalanannya mengenal diri sendiri.  

Namun begitu, saya berpendapat Companion adalah filem yang baik untuk menunjukkan bagaimana sebuah hubungan toksik berjalan. Ada banyak cerita bercakap tentang isu ini namun Companion menampilkannya dengan cara berbeza terutama kebingungan Iris, atau mangsa keganasan mengenal perasaannya sendiri. 

Iris menunjukkan dengan jelas bagaimana cycle of violence berputar dalam tiga tahap (seperti kajian Lenore E. Walker) iaitu ketegangan, keganasan dan penyesalan. Ia kitaran yang dilalui oleh mana-mana mangsa keganasan rumah tangga. 

Banyak perempuan rapuh di fasa ketiga membuatkan mereka fikir orang yang mereka sayang tidak akan menyakiti mereka sekali lagi. Itu sebabnya mereka kembali kepada pasangan mereka lagi dan lagi (saya tidak bercakap mengenai Bella Astillah). 

Dinamika antara mangsa dan pemangsa sangat kompleks apalagi ia melibatkan orang yang pernah disayang. Tapi otak kita boleh menipu, ia hanya memainkan memori baik dan manis memancing kita kembali kepada perhubungan itu. 

Tapi dari Iris kita belajar bahawa memori manis pertemuan di pusat beli bersama Josh belah hanya sekadar kenangan. Ia mainan perasaan dan bukannya fakta menunjukkan lelaki itu cinta sebenar.

Saya difahamkan, Companion ditayangkan di Amerika Syarikat dalam minggu sambutan hari kekasih. Saya fikir, mungkin saja pasukan Companion menghasilkan filem ini sebagai refleksi status hubungan yang sedang kita miliki selepas melihat statistik terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan 35 peratus wanita menjadi mangsa keganasan suami mereka seumur hidup.

Sebuah filem mungkin tidak boleh menyelamatkan wanita, tapi cukup kuat membuat kita berfikir apa yang dialami oleh satu daripada tiga wanita di Malaysia yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga seperti didedahkan Women’s Aid Organisation. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN