Hasrat untuk meningkatkan kemahiran membaca jawi dalam kalangan murid bukan Islam mendorong Lorenica Frenika Masundim,34, melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsahah (PhD).
Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran Sabah itu berkata, beliau ingin menjalankan kajian mengenai pembinaan modul pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan kemahiran membaca jawi dalam kalangan murid bukan Islam untuk mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah tahap dua.
Katanya, pembelajaran asas tulisan jawi dalam buku teks sedia ada tidak mencukupi untuk murid bukan Islam menguasai kemahiran membaca Jawi walaupun diajar selama tiga tahun.
“Oleh itu saya berharap modul ini nanti akan membantu kerana mahu membangunkan modul ini berdasarkan pengalaman sendiri belajar membaca Jawi dalam masa enam bulan semasa di Institut Pendidikan Guru (IPG) dulu.
“Melalui kajian ini juga saya berharap masyarakat akan lebih faham akan fungsi sebenar tulisan jawi dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurutnya, dia melanjutkan pengajian ke peringkat PhD secara sambilan untuk tempoh antara tiga hingga enam tahun.
Lorenica memulakan kerjaya sebagai seorang guru setelah tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu pada 2008,
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama (PBMP) di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang..
Guru yang berasal daripada Kampung Tangkarason, Paitan, Sabah itu itu menyimpan impian untuk melihat anak-anak di pedalaman Sabah mendapat didikan yang secukupnya agar mereka boleh mengubah kehidupan keluarga ke lebih baik.
“Impian saya mahu melihat anak-anak pedalaman yang hidup dalam serba kekurangan mendapat pendidikan yang secukupnya hingga menjadikan mereka insan yang berjaya dan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya. Komitmen Lorenica mengajar tulis Jawi mendapat penghargaan pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).