SHAH ALAM: Pusat beli-belah Central i-City dimeriahkan dengan kempen sambutan Hari Raya bertemakan “Raya Dulu & Kini” yang menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi meraikan warisan budaya negara.
Kempen yang berlangsung dari 8 Mac hingga 13 April itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk bazar raya, program kebajikan, persembahan budaya, serta peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Sepanjang musim perayaan, Bazaar Raya yang disertai lebih 70 peniaga bermula 20 Februari lalu juga menawarkan pelbagai produk termasuk busana tradisional, kuih-muih serta perhiasan Aidilfitri sebagai usaha mengetengahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bukan itu sahaja, Central i-City juga komited berbakti semula kepada masyarakat dengan inisiatif agihan pek makanan kepada 20 keluarga kurang berkemampuan dan ibu tunggal di sekitar Shah Alam.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, anjuran seperti itu membolehkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa untuk menghargai budaya Melayu.
“Dengan persembahan tradisional, hiasan perayaan dan aktiviti interaktif, para pengunjung dapat menyelami warisan Hari Raya sambil menikmati elemen moden perayaan hari ini.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memelihara tradisi budaya, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia,” katanya semasa Majlis pembukaan acara ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan bantuan kepada peniaga PKS menerusi inisiatif Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) yang bertujuan membantu mengembangkan perniagaan.
“Dengan adanya Bazaar Raya di Central i-City, peluang seperti ini membolehkan perniagaan mereka berkembang, menarik pelanggan baharu dan merancakkan ekonomi tempatan.
“Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka boleh meneroka DUMS yang menawarkan bantuan kewangan, latihan dan sumber untuk menyokong pertumbuhan mereka,” katanya.
Dengan peruntukan RM2 juta pada 2024, DUMS ialah inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyokong peniaga kecil dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam bentuk peralatan atau kelengkapan perniagaan bernilai sehingga RM30,000.
RAYA DULU & KINI
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Central i-City, Alfred Chua berkata, gabungan dua elemen pada tema yang dipilih itu mengembalikan nostalgia lama selaras dengan perubahan zaman yang dilalui.
“Ia mengingatkan kita untuk menghargai warisan budaya. Daripada nostalgia balik kampung, kuih raya buatan tangan hingga kepada cahaya pelita tradisional. Tradisi-tradisi ini membawa kembali kenangan manis zaman dahulu.
“Walaupun zaman berubah, semangat Hari Raya tetap sama. Semangat kebersamaan, perjumpaan keluarga dan kegembiraan tetap menjadi inti pati perayaan ini yang mengingatkan kita bahawa sama ada dulu atau kini, makna Raya tetap istimewa,” katanya.

Tambahnya, Central i-City juga komited menjadi satu pusat beli-belah yang memberikan pelbagai pilihan kepada masyarakat.
“Kami telah merancang pelbagai aktiviti untuk komuniti, termasuk bengkel, persembahan budaya dan pertandingan. Central i-City komited untuk menjadi tempat di mana masyarakat boleh berkumpul, meraikan dan menikmati pengalaman berbelanja yang hebat,” katanya.
Sementara itu, kata Alfred, pusat beli-belah itu juga meraikan kejayaan mencapai 95 peratus kadar penghunian, mencerminkan kepercayaan tinggi daripada rakan kongsi dan pelanggan setia. Pusat beli-belah ini optimis untuk menarik lebih ramai peruncit sepanjang tahun ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan, sekolah dan rakan kongsi kami kerana menjayakan perayaan ini. Dedikasi dan kerjasama anda menghidupkan acara seperti ini amat kami hargai,” katanya.
Sempena sambutan Hari Raya, Central i-City akan dipenuhi pelbagai aktiviti termasuk pertandingan dan persembahan, antaranya pertandingan peragaan, mewarna dan kompang selain 10 persembahan muzik tradisional.
Pengunjung yang berbelanja minimum RM200 juga berpeluang menebus hadiah eksklusif raya seperti set sampul dan perkakas dapur. – UTUSAN