KUALA LUMPUR: Caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada bukan warganegara adalah kadar paling minimum dan bertujuan memberi peluang kepada kerajaan mendaftar jumlah pekerja asing di negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, caruman itu juga merupakan simpanan tetap dan mendorong mereka untuk mengeluarkannya apabila tamat tempoh perkhidmatan dan permit bekerja.
Perdana Menteri menjelaskan, pelaksanaan caruman buat pekerja asing itu juga kerana kerajaan terikat dengan dengan piawaian antarabangsa, Artikel 68, Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Jadi, KWSP dan Kementerian Kewangan mengadakan libat urus dengan semua syarikat-syarikat besar dan Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Sebab itu, kalau kita lihat, hampir 70 negara menggunakan kaedah caruman, walaupun kebanyakan negara meletakkan caruman lebih tinggi. Kita menggunakan minimum dua peratus yang dianggap tidak membebankan,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai caruman KWSP untuk bukan warganegara yang dikatakan membebankan majikan serta mengalih perhatian KWSP kepada simpanan persaraan warganegara.
Anwar berkata, caruman berkenaan tidak mengurangkan perhatian KWSP kepada rakyat tempatan kerana wujudnya inisiatif seperti caruman sukarela yang diperkenalkan tahun lalu.
Katanya, sebanyak 1.2 juta ahli yang bekerja sendiri telah membuat caruman sukarela berkenaan.
“Kita juga ada i-Saraan dan i-Suri untuk menjaga sektor informal terutamanya isteri-isteri yang menjadi suri rumah tangga. Insentif kerajaan itu sudah mencecah RM4.16 juta,” katanya. – UTUSAN