GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran mengenai kemunculan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok yang kini membanjiri pasaran tempatan.
Perkara itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap normalisasi tabiat merokok dalam kalangan kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, trend itu semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan rokok sebenar serta berupaya menarik perhatian kanak-kanak melalui rekaan pelbagai warna.
“Apabila kanak-kanak melihat produk ini di kedai, mereka akan meminta ibu bapa untuk membeli tanpa menyedari bahaya di sebaliknya.
“Sekali mereka tertarik, mereka akan terus meminta untuk mendapatkan gula-gula ini berulang kali,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Subbarow, corak dan reka bentuk gula-gula itu juga boleh mendorong kanak-kanak untuk meniru tabiat merokok apabila mereka meningkat usia.
Katanya, lebih membimbangkan, ada gula-gula yang direka dalam bentuk jarum suntikan, menyerupai picagari yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.
“Gula-gula ini bukan sekadar manisan biasa, tetapi boleh menjadi permulaan kepada ketagihan vape dan rokok. Ibu bapa mungkin tidak menyedari risiko ini dan membelinya untuk menenangkan anak-anak mereka,” katanya.
Tambah Subarrow, fenomena itu bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membentuk tabiat merokok dalam kalangan generasi muda.
“CAP bimbang trend ini akan menyebabkan kanak-kanak secara tidak langsung belajar cara mengendalikan peranti menyerupai rokok elektronik tanpa menyedari implikasinya.
“Produk ini mula memasuki pasaran tempatan kurang enam bulan lalu dan semakin popular dalam kalangan kanak-kanak dan kita tidak boleh membiarkan ini menjadi kebiasaan,” katanya yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengharamkan penjualan produk berkenaan. – UTUSAN