Campur beras berlaku sejak tahun 70-an -  Mohamad Sabu

PARLIMEN: Campur beras berlaku sejak tahun 70-an –  Mohamad Sabu

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) merumuskan tindakan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import dilakukan sejak tahun 70-an bagi memenuhi citarasa pengguna selain menghasilkan variasi jenama di pasaran.

Tindakan mencampurkan beras tempatan dengan beras import itu berlaku selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bukannya hanya dilakukan sejak kerajaan hari ini mentadbir negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian dijalankan MyCC ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024.

“Hasil kajian berkenaan sudah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 2024 pada 17 Disember 2024.

“Susulan Mesyuarat JKKMN dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran berat putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) melalui perundangan.

“Selain merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta KPKM memperjelaskan ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disahkan mempunyai campuran beras putih tempatan dengan beras import.

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi, Mohd. Shahril Firdaus Ab. Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Mohamad berkata, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan pencampuran beras.

Katanya, pada 13 Februari lalu, dua langkah diumumkan kerajaan sebagai usaha awal memastikan keseimbangan dalam industri iaitu menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025.

“Penyelarasan ini dilaksanakan dengan mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi merangkumi kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan dan harga beras di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju mengekalkan harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaranna sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos depan.

Katanya, ia bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram secara berperingkat di pasaran.

“Langkah ini adalah untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya