PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan yang menolak cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda RM86.77 juta terhadap Grab Holdings Inc. (Grab Inc) dan dua anak syarikatnya.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk S. Nantha Balan dan bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan oleh MyCC tidak mempunyai sebarang merit.
Panel turut memerintahkan suruhanjaya itu untuk membayar kos sebanyak RM50,000.
Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Chong Fong berkata, Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa siasatan oleh MyCC tidak mengikut prosedur yang sepatutnya yang membolehkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Ujar hakim itu, MyCC sepatutnya memberikan pemberitahuan kepada responden ( Grab Inc., Grabcar Sdn. Bhd., dan Myteksi) untuk meminta maklumat berdasarkan Seksyen 18 Akta Persaingan 2010 (untuk kuasa menghendaki penyediaan maklumat) kerana siasatan adalah berdasarkan aduan pihak ketiga.
Selain itu, surat yang dikeluarkan oleh MyCC kepada responden adalah tidak jelas dan tiada bukti menunjukkan bagi menunjukkan MyCC telah memaklumkan Grab Inc., Grabcar dan Myteksi berhubung siasatan itu.
Ujar hakim itu lagi, tiada sebarang prosedur pemulihan dalaman yang ada bagi membolehkan Grab Inc., Grabcar dan Myteksi untuk membuat rayuan berhubung denda yang dicadangkan.
“Mahkamah ini juga mendapati Seksyen 35 Akta Persaingan (berkaitan dengan langkah sementara) sehingga Seksyen 40 (penemuan pelanggaran) tidak menyediakan mekanisme untuk mencabar keputusan yang dicadangkan.
“Mahkamah mendapati tiada proses rayuan terhadap cadangan keputusan yang dibuat berdasarkan Seksyen 35 hingga 40. Responden (Grab dan lain-lain) adalah betul dalam memfailkan remedi kehakiman kerana tiada remedi dalaman tersedia untuk mereka mencabar keputusan yang dicadangkan itu.
“Oleh itu, mahkamah ini mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang kesilapan boleh rayuan yang memerlukan campur tangan rayuan dalam menolak rayuan MyCC,” kata Lim.
MyCC merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Julai 2023, dan syarikat berkenaan memperoleh perintah certiorari untuk membatalkan cadangan denda itu.
Pada Disember 2019, tiga syarikat terbabit memfailkan semakan kehakiman selepas MyCC mencadangkan denda sebanyak RM86.77 juta selepas mendakwa syarikat berkenaan melanggar Akta Persaingan 2010.
Pelanggaran yang didakwa dilakukan ialah menyalahgunakan kedudukan dominan dengan mengenakan klausa sekatan terhadap pemandu, menghalang mereka daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan untuk pesaing syarikat itu.
Mahkamah Tinggi pada 2020, menolak permohonan Grab dan anak syarikat untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan langkah itu “pramatang” kerana keputusan yang dicadangkan belum muktamad.
Grab merayu keputusan itu pada April 2021, Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan Grab untuk mendapatkan kebenaran dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran atas meritnya.
Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah Tinggi kemudian meneruskan perbicaraan penuh untuk merit semakan kehakiman pada 2022. – UTUSAN