Cadangan DBKL bina sekolah 17 tingkat tidak sesuai

Cadangan DBKL bina sekolah 17 tingkat tidak sesuai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah setinggi 17 tingkat seperti yang disebutkan baru-baru ini menimbulkan kebimbangan serius, khususnya dari segi keselamatan pelajar dan guru.

Bangunan setinggi 17 tingkat akan menyukarkan proses evakuasi dalam keadaan kecemasan seperti kebakaran atau bencana lain. Selain itu, penyelenggaraan bangunan sebegini memerlukan kos yang tinggi, termasuk keperluan lif yang berfungsi dengan baik, sistem keselamatan yang ketat, serta pemantauan berkala bagi mengelakkan insiden yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar.

Dari segi kesesuaian, sekolah bukan sekadar tempat pembelajaran dalam kelas tetapi juga memerlukan ruang untuk aktiviti fizikal, sukan, rekreasi, dan interaksi sosial.

Sekolah bertingkat tinggi boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan fizikal pelajar, menjadikannya seolah-olah seperti ‘penjara pendidikan’ yang menghalang perkembangan mereka secara menyeluruh.

Selain itu saya mewakili Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) juga menggesa kerajaan untuk meneroka cadangan penubuhan sekolah satu aliran sahaja sebagai langkah jangka panjang bagi menyelesaikan isu kepadatan pelajar serta menjamin perpaduan dalam kalangan warganegara.

Satu-satu kawasan terdapat dua ke tiga jenis buah sekolah maka sudah pasti menyebabkan tanah semakin mengecil hingga menyebabkan tiada lagi ruang untuk membina bangunan di kawasan-kawasan tersebut.

Sistem pendidikan berasaskan kaum yang telah berjalan selama lebih enam dekad dilihat semakin tidak relevan dalam usaha membina negara yang bersatu padu.

Kewujudan pelbagai aliran sekolah bukan sahaja mengekalkan jurang perkauman tetapi menyumbang kepada ketidakseimbangan jumlah pelajar antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

Sekolah satu aliran adalah penting untuk mencapai beberapa manfaat utama iaitu bagi mengurangkan kepadatan pelajar sekolah murid berupaya ditempatkan dalam satu sistem pendidikan yang seragam, mengelakkan ketidakseimbangan dan memastikan sumber pendidikan diagihkan secara lebih adil.

Usaha memperkukuh perpaduan nasional iaitu murid daripada pelbagai latar belakang dapat belajar dan berinteraksi bersama sejak kecil, membentuk kefahaman antara kaum yang lebih mendalam.

Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk memulakan perbincangan terbuka mengenai pelaksanaan sekolah satu aliran dan mewujudkan pelan peralihan yang progresif bagi memastikan masa depan pendidikan Malaysia lebih bersatu dan lestari.

FAZREEN FAUZI ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN