Cadangan ambil alih Gaza bahayakan keamanan, kestabilan

Cadangan ambil alih Gaza bahayakan keamanan, kestabilan – Mohamad

MOHAMAD Hasan ketika hadir pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, semalam.-FACEBOOK/MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia membantah sebarang cadangan pengambilalihan Gaza yang disifatkan sebagai bentuk penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin malah melanggar undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu jelas melanggar undang-undang khususnya Artikel 17 Protokol II Konvensyen Geneva.

“Malaysia bertegas dengan pendirian kami (iaitu) menentang cadangan yang meresahkan ini kerana ia akan merencatkan segala usaha antarabangsa untuk mendapatkan keadilan kepada Palestin malah cadangan itu lebih membahayakan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, semalam.

Mohamad berkata, OIC dan masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk memastikan Israel menepati perjanjian gencatan senjatanya iaitu membenarkan bekalan bantuan kemanusiaan terus masuk ke Gaza.

Selain itu, katanya, perjanjian juga membolehkan pelaksanaan fasa-fasa seterusnya dalam gencatan senjata, menghentikan operasi ketenteraan dan pembinaan semula Gaza.

“Proses pembinaan semula Gaza dikatakan akan mengambil masa beberapa dekad dengan anggaran kos sebanyak AS$ 80 bilion.

“Oleh itu, Malaysia menyokong pelan pembinaan semula yang telah mendapat sokongan kukuh pada Sidang Kemuncak Liga Arab Luar Biasa. Setiap sumbangan kewangan, teknikal, atau diplomatik amat penting dalam memulihkan kehidupan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga diminta Jepun untuk menjadi Pengerusi Bersama Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin ke-4 (CEAPAD IV).

“Malaysia telah bersetuju dan pada masa sama mahu memanfaatkan pertemuan ini untuk menekankan kepentingan memudahkan sumbangan bermakna dan substansial ke arah pembangunan Palestin,” katanya.

Mohamad berkata, bagi memastikan kejayaan pelan pembangunan semula Mesir untuk Gaza, adalah sangat penting untuk mewujudkan keamanan dan menghentikan kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Katanya, keamanan sebenar yang kekal berpanjangan adalah jika Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara sepenuhnya dan memperoleh keanggotaan penuh di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pengiktirafan terhadap negara Palestin bukan sahaja menjadi batu asas penting untuk keamanan berkekalan, malah amat penting dalam menangani krisis kemanusiaan, penubuhan pentadbiran yang berfungsi dan mendapatkan sokongan antarabangsa untuk melaksanakan usaha pemulihan dan pembinaan semula di Gaza,” katanya.

Pada ucapan sama, Mohamad juga menyatakan gesaan Malaysia supaya semua pihak berganding bahu menghentikan pendudukan haram Israel di wilayah rakyat Palestin.

Pada masa sama menurutnya untuk bersama-sama membina semula Gaza bagi membolehkan pelarian Palestin kembali dengan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya