KEMAMAN: Seorang buruh ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur yang juga anak tirinya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 47 tahun, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berkenaan yang berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah rumah di daerah ini, kira-kira pukul 1 hingga 3 pagi, pada Mac 2024.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Sharifah Amirda Shasha menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula di Mahkamah Sesyen. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin. – UTUSAN