KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Bulan Bintang mengukuhkan kedudukannya dalam industri fesyen dengan pelancaran pop-up eksklusif di pusat beli-belah, The Starhill selama 13 hari bermula 12 hingga 23 Mac.
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, replika baju Melayu gergasi setinggi 12 kaki itu telah dirancang sejak Ogos tahun lalu dengan matlamat untuk membawa pengalaman fesyen yang unik kepada orang ramai.
“The Starhill dipilih sebagai lokasi kerana statusnya sebagai destinasi membeli-belah premium, yang sering dikunjungi oleh pelancong dan golongan elit.
“Kehadiran pop-up ini di sana bukan sahaja menarik perhatian pengunjung tempatan, malah memberi peluang kepada pelancong asing untuk mengenali lebih dekat pakaian tradisional Melayu dalam bentuk yang lebih moden dan bergaya.
“Replika ini menjadi simbol kebanggaan kepada jenama Bulan Bintang yang terkenal dengan inovasi dalam rekaan baju Melayu. Ia juga simbolik kepada warisan budaya yang ingin dipromosikan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jelas Azzim, langkah promosi itu bertujuan sebagai pameran dan bukannya lokasi jualan namun, sambutan luar biasa daripada orang ramai mendorong jenama tersebut membuka reruai jualan di lokasi tersebut.
Selain daripada jualan produk, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan empat duta jenama Bulan Bintang, Syafiq Kyle, Shukri Yahya, Nadhir Nassar dan Mierul Aiman yang hadir memeriahkan promosi.
“Ini merupakan satu pencapaian besar bagi kami kerana bukan mudah untuk mendapatkan tempat di The Starhill, apatah lagi dengan konsep pop-up yang berbeza daripada jenama fesyen lain.
“Kami sangat bersyukur kerana berjaya membawa jenama Bulan Bintang ke satu tahap yang lebih tinggi. Sara juga rasa bangga apabila melihat ramai pelancong asing mula mengenali baju Melayu melalui inisiatif ini.
“Ia bukan sekadar satu langkah strategik dari sudut perniagaan, tetapi juga satu bentuk promosi budaya yang efektif,” katanya.
Selain menumpukan kepada pertumbuhan jenama, tambah Azzim, Bulan Bintang juga tidak melupakan tanggungjawab sosial mereka.
“Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikenali sebagai Sinar Ramadhan Bulan Bintang, jenama ini telah memperuntukkan lebih daripada setengah juta ringgit untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Program ini yang kini memasuki tahun kedua dijalankan dengan kerjasama Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan bertujuan membantu masyarakat kurang berkemampuan, termasuk komuniti Orang Asli di Sabah dan golongan asnaf di Semenyih.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa Bulan Bintang bukan sekadar jenama fesyen, tetapi juga entiti yang prihatin terhadap masyarakat,” kongsinya.