SALINA Saibi antara pelakon yang terlalu sinonim dengan drama Gerak Khas terbitan Skop Production.
Pembabitan awalnya menerusi musim kesembilan drama popular itu menarik minat pengarah, Datuk Yusof Haslam untuk menawarkan dia watak ASP Salina, bermula musim kesepuluh sehinggalah musim terakhir drama berkenaan yang menutup tirainya pada tahun 2020.
Kekerapan Salina bekerja dibawah syarikat produksi gergasi itu mengundang persepsi kurang enak sehingga wujud dalam kalangan orang industri sendiri yang menganggap aktres berusia 43 tahun ini sebagai ‘anak emas’ Skop Production.
Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini tidak menafikan dia memang pernah dianggap sedemikian rupa. Dan persepsi liar itu jugalah yang membuatkan ramai penerbit serta pengarah menolak untuk menawarkan dia bekerja di bawah mereka.
“Dulu mungkin ya, selalu saya dianggap anak emas Skop Production. Dan saya tidak nafikan, ada penerbit yang enggan menggunakan khidmat lakonan saya kerana pada anggapan mereka saya ini tidak boleh ‘diusik’ kerana kononnya terikat dengan syarikat berkenaan.
“Saya faham alasan di sebalik penolakan mereka itu. Mungkin mereka tidak mahu mengganggu saya yang terikat dengan jadual penggambaran Gerak Khas yang berjalan terlalu lama.
“Tapi hakikatnya, tiada istilah saya ini anak emas Skop Production dan saya tidak pernah terikat sehingga tidak boleh bekerja dibawah syarikat produksi yang lain.
“Tapi ini semua cerita lama. Zaman itu pun sudah berlalu. Saya pun sudah lama bersara sebagai Inspektor Salina,” katanya.
Namun Salina bersyukur kerana dek kerana impak yang ditinggalkan watak tersebut, dia diingati penonton sampai ke hari ini.
“Lebih 10 tahun saya membawa watak inspektor polis sampaikan ramai yang beranggapan saya ini benar-benar seorang pegawai polis.
“Kadang kala penonton yang terserempak saya di luar akan memanggil saya dengan nama karakter itu. Pada saya itu satu penghormatan.
“Apa pun, cukuplah saya membawa watak yang sama. Saya sudah penat melakonkan babak kejar penjenayah. Mungkin selepas ini berilah saya watak yang lain pula,” kongsinya.
WATAK PENYONDOL?
Bercakap tentang kesesuaian watak, ada juga terbaca pandangan peminat yang merasakan Salina ini sesuai membawakan watak perampas kekasih atau suami orang atau dalam erti kata lain, wanita ‘penyondol’.
Namun realitinya, pelakon cantik ini sendiri cukup anti dengan wanita yang merampas kebahagiaan wanita lain.
“Tindakan merampas kekasih atau suami orang ini boleh dikategorikan sebagai penyakit sebenarnya. Orang seperti ini kena bayangkan betapa sakitnya kalau hak dia yang diambil individu lain.
“Jadi, satu pesanan saya kepada wanita lain, janganlah rampas kebahagiaan wanita lain. Barang pun, kalau diambil orang kita marah, apatah lagi kekasih atau suami.
“Jadi, hati-hatilah dengan tindakan kita. Kalau boleh, elak jadi perampas kerana dikhuatiri pembalasan ‘tunai’ yang Tuhan turunkan kepada penyondol ini,” kongsinya.