PUTRAJAYA: Sempena Ramadan tahun ini, Hotel The Everly Putrajaya menyajikan makanan warisan ASEAN yang menggabungkan pelbagai rasa unik dari seluruh rantau sebagai tanda sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN 2025.
Bertemakan ‘Fiesta Ria Ramadan: A Culinary Tribute to ASEAN 2025’, puluhan hidangan lazat dan menyelerakan disediakan kepada pengunjung untuk mereka merasai sendiri pengalaman menikmati makanan yang tidak akan dilupakan.
Antara hidangan yang disediakan seperti Nasi Katok Royal dari Brunei, Khmeer Beef Salad (Kemboja), Madura Bakwan (Indonesia), Khao Niew Gai (Laos), Nasi Kandar Penang (Malaysia), Mohinga & Sanwin Makin (Myanmar), Manila Chicken Adobo (Filipina), Nasi Ayam Singapore (Singapura), Miang Kham, Som Tam dan Teh Ais Thai (Thailand) serta Pho Bo (Vietnam).
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis juadah pemanis mulut seperti hidangan kuih-muih, kek, apam balik rangup, aneka bubur serta buah-buahan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, Fiesta Ria Ramadan 2025 adalah bukti komitmen dalam memberi tetamu peluang untuk mereka menikmati rasa asli ASEAN sambil meraikan bulan Ramadan yang suci.
“The Everly Putrajaya teruja untuk meraikan Ramadan kali ini dengan tema yang menonjolkan kepelbagaian dan perpaduan negara-negara ASEAN.
“Bufet tahun ini membawa para pengunjung dalam sebuah ekspedisi gastronomi merentasi 10 negara ASEAN, kami menampilkan pelbagai hidangan tradisional yang dirancang khas untuk mempamerkan rasa autentik dari setiap negara,” katanya ketika ditemui pada pembukaan bufet Ramadan di sini hari ini.
Izwan berkata, sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah, para pengunjung juga dapat menyaksikan demo memasak secara langsung dan persembahan muzik tradisional.
Katanya lagi, selaras dengan semangat Ramadan, The Everly Putrajaya tidak melupakan golongan istimewa dan memerlukan dengan menjemput pelajar dari Unit Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2), penghuni Shelter Home Petaling Jaya, dan The Myanmar Refugees Organization untuk menikmati bufet Fiesta Ria Ramadan.
“Kita menggabungkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat dalam acara tahun ini. Inisiatif ini mencerminkan komitmen hotel dalam membina rasa kekitaan dan inklusiviti dengan memastikan semangat Ramadan dikongsi bersama semua,” katanya. – UTUSAN