BUBUR lambuk merupakan hidangan cukup sinonim khususnya pada bulan Ramadan dan ini yang dimanfaatkan ole Sekolah Tengku Budriah
Istimewanya, hidangan bubur lambuk akan dimasak secara beramai-ramai kemudian diagih-agihkan kepada orang ramai sekali gus menjadi tradisi yang terus berkekalan.
Aktiviti yang selalu diadakan secara bergotong-royong itu juga mampu mengeratkan hubungan silatulrahim sesama umat Islam.
Mengekalkan tradisi tersebut, Sekolah Tengku Budriah (STB) di Arau, Perlis tidak pernah ketinggalan menganjurkan aktiviti agihan bubur lambuk yang berterusan sejak 10 tahun lalu.
Malah, keenakan bubur lambuk tulang gear box hasil resepi turun temurun seorang guru sekolah berkenaan menjadikan ia sentiasa ditunggu-tunggu oleh murid-murid serta warga STB setiap kali bulan Ramadan.
Pada tahun ini, guru-guru STB dan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bergotong-royong menyediakan empat kawah bubur lambur berkenaan bagi diagihkan kepada lebih 1,000 murid dan warga sekolah.
Gotong-royong menyediakan 1,500 bekas bubur lambuk itu bermula pukul 7.30 pagi dan proses pengagihan kepada murid dan warga sekolah itu selesai sekitar pukul 12.00 tengah hari.
Program bubur lambuk mega anjuran badan kebajikan guru dan kakitangan STB dan PIBG sekolah tersebut adalah bersempena Ramadan dengan kali ini penganjurannya dalam skala lebih besar dan cukup meriah.
Guru Besar STB, Nor Zaiton Ibrahim berkata, sebanyak empat kawah disediakan membabitkan 60 kilogram beras bagi menyediakan bubur lambuk berkenaan.
Katanya, sebanyak tiga kawah membabitkan tulang ‘gear box’ manakala satu lagi kawah adalah dicampur ayam untuk murid-murid bukan Islam di sekolah berkenaan.
“Aktiviti menyediakan bubur lambuk ini mengambil masa kira-kira dua jam dengan kerjasama guru-guru dan PIBG ini. Program berkenaan juga bagi menyemarakkan bulan Ramadan penuh keberkatan selain mengeratkan hubungan silatulrahim.
“Kita membuat persiapan dua hari dengan guru-guru bergilir-gilir memasak bubur lambuk tersebut yang diberikan
tanggungjawab kepada badan kebajikan guru dan kakitangan STB.
“Aktiviti tersebut akan diteruskan dalam skala lebih besar selepas ini sekali gus mengekalkan tradisi berkenaan,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Sementara itu, tukang masak utama bubur lambuk berkenaan, Hasnah Hasan berkata, bubur lambuk berkenaan adalah resipi turun temurun dengan istimewa adalah ditambah tulang gear box.
Katanya, selain penggunaan beras, setiap kawah yang disediakan itu membabitkan penyediaan 18 kilogram daging dan kaki lembu.
“Kira-kira 20 guru bersama menyediakan bubur lambuk tradisi tersebut yang bermula dari 7.30 sehingga 10.30 pagi. Semua guru-guru dan ibu bapa bersama menyediakan bubur berkenaan.
“Selepas itu, kita akan agihkan kepada semua murid sekolah berkenaan tanpa mengira bangsa. Program agihan bubur lambuk ini juga antara yang dinanti setiap kali Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG, Saifol Zairy Abd. Rahim pula berkata, program agihan bubur lambuk itu merupakan aktiviti tahunan bersempena Ramadan dengan kali ini diadakan dengan skala lebih besar.
Katanya, program tersebut mendapat kerjasama erat ibu bapa dan guru bagi memberi keceriaan kepada murid-murid selain meneruskan tradisi sejak sekian lama itu.
“Usaha berkenaan akan diteruskan sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Bubur lambuk juga merupakan hidangan cukup sinonim sempena Ramadan,” katanya.