KUALA LUMPUR : Aktor, Sharnaaz Ahmad menasihatkan rakan penyampai radio, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin, aktor, supaya berhenti membuat permohonan maaf berhubung dakwaan mereka mempersendakan agama kaum lain di media sosial.
Menerusi hantaran di Instagram, Sharnaaz, 39, berkata, permohonan maaf telah dilakukan mereka sebelum ini dan perkara itu sudah mencukupi.
“Buat sahabat aku bertiga, berhenti minta maaf! Anda bertiga dah buat yg terbaik. Cukup bro, sangat cukup.
“Jangan melebih ya. Hormat adalah mutual (saling diberi dua pihak). Kami Melayu dan Islam tetap bermaruah! Kami sayang semua tetapi jangan melampau. Jangan politikkan isu ini ,”katanya dalam satu hantaran di Instagram pagi ini.
Sebelum itu, Sharnaaz juga memuat naik luahannya berhubung isu yang sama namun bersetuju tiga rakan penyampai itu tetap bersalah.
Ini kerana katanya, sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara majmuk, seharusnya setiap individu saling menghormati agama dan budaya kaum lain
“Aku tahu kalian bertiga sangat ‘down’, namun apa yang kalian sudah buat memang salah. Memang seratus peratus salah.
“Jangan sesekali kita permainkan apa-apa agama di Malaysia kerana itu bukan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. Kita hormat setiap bangsa di negara ini,”katanya.
Bagaimanapun, aktor itu memuji tindakan tiga penyampai itu yang berani mengaku silap dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Namun saya harus beri ‘respect’ kepada kalian kerana berani mengaku bersalah dan mengaku sudah buat kesilapan. Kalian juga sudah berjumpa dengan pihak yang sepatutnya.
Tidak mengapa, kerana setiap manusia pasti membuat kesilapan. Orang berani mengaku silap wajib kita beri peluang kedua,”ujarnya.
Semalam, Nabil, Radin dan Azad telah hadir ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan dan membantu siasatan.