Buat laporan palsu kehilangan MyKad bakal berdepan tindakan tegas - Utusan Malaysia

Buat laporan palsu kehilangan MyKad bakal berdepan tindakan tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak polis memberi amaran tegas kepada individu yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan atau MyKad bahawa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat dan berdepan hukuman penjara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, laporan palsu khususnya yang mendakwa kejadian samun atau ragut adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. 

“Laporan yang dibuat oleh segelintir individu yang menyatakan kejadian samun atau ragut, namun hasil siasatan mendapati ia adalah palsu kerana mereka sebenarnya hanya kehilangan MyKad dan membuat laporan palsu untuk mengelakkan pembayaran denda.

“Orang ramai perlu berwaspada dan tidak membuat laporan palsu kerana tindakan itu boleh membawa akibat yang serius. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan sebegini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jom Ronda IPD Wangsa Maju di Dewan Komuniti PPR Hiliran Ampang, semalam.

Mohamad Lazim mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan proses laporan polis. 

“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus memperketatkan pemantauan terhadap laporan palsu demi memastikan integriti sistem penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN