Botakkan kepala demi semangat anak lawan kanser

Botakkan kepala demi semangat anak lawan kanser

AZROYHATTA Md. Jais membotakkan kepala bagi menemani perjalanan getir anaknya yang kini menjalani rawatan kemoterapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi memberikan semangat buat anak tunggal­nya yang menderita pe­nyakit kanser saraf, seorang bapa sanggup membotakkan kepala bagi menemani perjalanan getir anaknya yang kini menjalani rawatan kemoterapi.

Azroyhatta Md Jais, 35, me­ngakui luluh hatinya apabila Nur Sumayyah, 7, yang sebelum ini ceria dan aktif, tiba-tiba disahkan menghidap neuroblastoma, sejenis kanser saraf pada penghujung Oktober tahun lalu.

Lebih meruntun jiwa, dia dan isteri, Shakila Silah, 36, buntu mencari jalan untuk menampung kos ubat khas berjumlah RM344,844, yang diperlukan bagi memastikan penyakit itu tidak kembali menyerang.

“Saya seorang juruteknik kilang manakala isteri tidak be­kerja. Mustahil kami mengumpulkan wang sebanyak itu tanpa bantuan orang ramai.

“Saya merayu ihsan semua pihak agar sudi membantu kami untuk melihat Sumayyah kembali sihat seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Kampung Padang di sini.

Menurut Azroyhatta, segala­nya bermula apabila anaknya kerap mengalami demam pada waktu malam selama seminggu selain mengadu sakit perut.

“Pemeriksaan awal di klinik mendapati tekanan darah Sumayyah tinggi sebelum dirujuk ke hospital bagi mengesan kemungkinan masalah apendiks.

“Selepas ujian ultra bunyi, doktor menemui ketulan di bahagian kiri perutnya. Keesokan harinya, imbasan CT mengesahkan sesuatu yang amat kami takuti, ia adalah sel kanser,” ujarnya.

Pembedahan membuang sel kanser dijalankan 19 Februari lalu berjalan lancar dengan ­lebih 90 peratus ketumbuhan berjaya dikeluarkan.

“Namun, doktor menasihatkan agar Sumayyah meneruskan rawatan kemoterapi untuk memastikan sel-sel kanser yang tersisa dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Kami bersyukur kerana setakat ini rawatan ditanggung, tetapi selepas semua prosedur selesai, anak saya memerlukan ubat khas Qarziba sebanyak 15 botol yang berharga lebih RM344,000,” katanya.

Menerusi pendapatan kurang RM2,000 sebulan, Azroyhatta mengakui jumlah itu di luar kemampuannya.

Biarpun Pusat Zakat Me­laka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan, namun berharap prosesnya dapat dipercepatkan kerana ubat itu perlu diambil seawal September ini.

Bantuan boleh disalurkan ke Bank Muamalat (04010042494728) atas nama Azroyhatta Bin Md Jais atau hubungi talian 017-6461436. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya