KEMAMAN : Seorang ‘bomoh’ muda yang berdepan dengan kes cabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, terpaksa berhari raya di lokap selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan tarikh 9 April ini sebagai sebutan semula kes.
Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, yang berdepan dengan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 13 Februari lalu.
Hakim, Wan Suhaila Mohd menetapkan 9 April ini sebagai tarikh sebutan semula selepas pihak pendakwaan membuat permohonan itu berikutan rekod perubatan mangsa belum diperoleh.
“Mahkamah menetapkan 9 April ini untuk kamu hadir semula. Sekarang ini, kita baru menerima laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Laporan perubatan mangsa masih belum diterima,” kata Wan Suhaila.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit kanak-kanak itu bagi maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual kontak fizikal tanpa persetubuhan bagi maksud seksual terhadap mangsa. Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 14(d) AKKSTKK yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh ke atas mangsa yang sama, kira-kira pukul 1 pagi, pada 31 Januari lalu di sebuah rumah di Bandar Seri Bandi, di sini. – UTUSAN