MELAKA: Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menyelamatkan seorang ibu dan bayinya berusia setahun yang terperangkap dalam banjir di Lorong Pandan, Taman Kesidang, pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8. 15 pagi dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba pada pukul 8. 24 pagi, kami mendapati seorang wanita berusia 41 tahun bersama bayi lelakinya berusia satu tahun terperangkap dalam rumah yang sudah dinaiki air.
“Seramai 12 anggota termasuk pasukan Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan bagi memastikan misi menyelamat berjalan lancar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, operasi berdepan sedikit cabaran akibat kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran, namun berjaya diselesaikan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, setakat ini, keadaan banjir di lokasi kejadian masih dalam pemantauan, dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantuan. – UTUSAN