Bom kedua dilupuskan di kawasan perindustrian Lok Kawi

Bom kedua dilupuskan di kawasan perindustrian Lok Kawi

OPERASI pelupusan bom lama jenis UXO di kawasan perindustrian Lok Kawi, Putatan, hari ini. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Selepas pelupusan bom pertama dilakukan pada Rabu lalu, sebutir lagi bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) dipercayai peninggalan perang dunia kedua dilupuskan di kawasan perindustrian Lok Kawi, di sini hari ini.

Operasi melupuskan bom lama yang ditemukan di sebuah tapak pembinaan di Kinarut pada 28 Februari itu bermula pada pukul 11.55 pagi hingga 3 petang.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, operasi melupuskan bom berkenaan bermula dengan letupan pertama bagi mematikan fius bom oleh pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan diikuti dengan letupan kedua dan ketiga bagi memusnahkan sepenuhnya bom berkenaan.

Beliau berkata, pasukan UPB melakukan letupan defuse sebagai langkah terakhir dan juga langkah keselamatan.

Katanya, makluman dan hebahan kepada penduduk setempat dan kilang-kilang serta premis perniagaan di kawasan berhampiran mengenai operasi pelupusan bom berkenaan telah dilakukan oleh Balai Polis Kinarut.

“Semasa proses pelupusan bom dijalankan, anggota balai dan Unit Kenderaan Peronda (MPV) melakukan kawalan lalu lintas serta lencongan jalan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sepanjang tempoh kerja-kerja letupan dilakukan, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Selepas kerja meletupkan bom selesai, pasukan Balai Polis Kinarut mendapatkan maklumat daripada kawasan sekitar sekiranya ada yang terkesan akibat letupan.

“Hasil pemantauan, tiada sebarang kecederaan pada mana-mana orang dan tiada sebarang kerosakan harta benda awam yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamaruddin berkata, secara keseluruhan operasi pemusnahan bom berjalan dengan baik dan lancar serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tertakluk di bawah jawatankuasa perancangan operasi (OPC) dan pengurusan risiko bencana letupan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Operasi pemusnahan bom itu dilakukan dengan kerjasama PDRM termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah Electricity (SE) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya