BNPL: Rakyat Malaysia belanja RM12 bilion

BNPL: Rakyat Malaysia belanja RM12 bilion

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia ber­belanja sebanyak RM12 bilion menggunakan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian atau BNPL pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak RM4.9 bilion dibelanjakan pada enam bulan pertama tahun lalu dan meningkat de­ngan ketara kepada RM7.1 bilion pada enam bulan kedua.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan ketara perbelanjaan rakyat negara ini di platform BNPL iaitu RM2.2 bilion antara separuh pertama dan RM4.9 bi­lion pada separuh kedua tahun lalu.

Senario ini sekali gus menunjukkan kadar hutang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia khusus­nya peringkat usia muda dan pertengahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif setakat akhir Disember 2024 de­ngan majoriti terdiri daripada golongan berumur antara 21 hingga 45 tahun.

Katanya, kebanyakan pengguna BNPL memiliki pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

“Terdapat 5.1 juta pengguna yang aktif setakat akhir Disember 2024 de­ngan majoriti terdiri daripada golongan yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

“Bagi separuh tahun kedua 2024, transaksi BNPL berjumlah RM7.1 bilion, me­ningkat dengan ketara berbanding RM4.9 ­bilion bagi separuh tahun pertama 2024,” katanya di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha kerajaan bagi mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan BNPL.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan daripada 3.7 juta pengguna aktif BNPL, 44 peratus pengguna dalam lingkungan usia 21 hingga 30 tahun dan 47 peratus dalam kalangan peringkat umur 31 hingga 45 tahun.

Menurut data Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), rata-rata pengguna berbelanja sekitar RM40 hingga RM500 antaranya melibatkan urusan pembayaran makanan dan minuman, hiburan dan perkhidmatan komersial.

Amir Hamzah berkata, jus­teru itu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan diwujudkan bagi mengawal selia per­khidmatan BNPL yang menyaksikan penggunaan ketara dalam kalangan rakyat Malaysia sejak kebelaka­ngan ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu merupakan antara rangka kawal selia BNPL oleh pihak kerajaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna yang bakal diluluskan di Parlimen kelak.

Katanya, undang-undang itu merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti yang ditetapkan termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit yang adil dan memberi peringatan yang kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan.

“Kementerian membuat baca­­an kali pertama bagi RUU Kredit Pengguna di Dewan Rak­yat pada 4 Mac dan di­cadangkan dibentangkan pada mesyuarat yang akan datang,” katanya.

Menerusi RUU itu, pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan bagi memastikan mereka me­ngamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab dan adil bagi melindungi pengguna kredit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya