TAPAH: Barisan Nasional (BN) yakin menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini dengan pertambahan majoriti.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan pengundi menerusi program-program kemasyarakatan bersifat berkala di kawasan tersebut.
“Saya pasti kita akan berjaya mungkin majoriti lebih besar. Satu sahaja saya risau (pengundi luar), ramai yang balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Semua penjawat awam dan semua (pekerja selain penjawat awam) bulan depan dah kering (tiada wang),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada penyampaian bantuan hampir 2,000 beg kepada 39 buah sekolah rendah di Parlimen Tapah menerusi Program Penyerahan Sumbangan Back To School di Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, Jalan Pahang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang, Azman Yahaya dan Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Batang Padang, Rafizal Samsudin.
Berhubung kempen dan pelancaran jentera secara agresif oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut, Saravanan berkata, BN telah bekerja keras kepada rakyat sepanjang tahun bukan semata-mata kerana pilihan raya.
“MIC, MCA dan UMNO telahpun menjalankan aktiviti sepanjang tahun. Kita tidak perlu ada program semasa pilihan raya sahaja. Itu tidak jujur.
“Apabila habis pilihan raya, pilihan raya kecil mereka akan lari. Program-program kita akan di Parlimen Tapah sepanjang tahun bukan direka khas untuk pilihan raya,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN