Black jual aset untuk modal berniaga, bina pusat penginapan - Utusan Malaysia

Black jual aset untuk modal berniaga, bina pusat penginapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya tidak berhutang dengan mana-mana bank, semuanya dibayar tunai dengan modal yang saya kumpul sendiri dari hasil titik peluh saya.”

Demikian kata penyanyi, Black Hanifah yang mendedahkan dirinya berjaya membina sebuah pusat penginapan di Pulau Langkawi tanpa membuat sebarang pinjaman bank.

Black berkata, setiap kos yang dilaburkan dalam perniagaan tersebut merupakan hasil daripada wang simpanan peribadi dan penjualan beberapa aset.

“Setiap perniagaan saya termasuk villa itu adalah hasil menabung, simpanan dan hasil saya jual rumah. Itu membuktikan yang saya mampu melakukannya,” katanya.

Black berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Nova Music, 17 Eleven Music dan Future Music, Jumaat lalu.

Lega dirinya bebas hutang, penyanyi lagu Teman Pengganti itu juga tidak gentar berdepan dengan tanggapan negatif sesetengah pihak yang memandang rendah terhadap kejayaannya kini.

Menurut Black, kejayaannya kini membuahkan hasil berpunca daripada sikap rajin dan usahanya dalam menguruskan kewangan serta simpanan secara bijak.

“Saya tidak mahu ambil peduli kalau ada yang bercakap buruk tentang saya. Bagi saya, kalau satu jari tunjuk ke arah saya, empat lagi tunjuk ke arah mereka sendiri.

“Saya yakin jika kita rajin menabung dan menyimpan, itulah kunci untuk kita berjaya. Sekarang saya dah buktikan,” ujarnya.

Sebelum ini, Black menafikan dakwaan bahawa dirinya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram selepas dikatakan memiliki kapal mewah dan sebidang tanah di Pulau Langkawi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menegaskan semua aset yang dimiliki merupakan hasil kerja keras dan simpanannya sejak menceburi industri muzik tanah air.

Dalam perkembangan lain, Black kini muncul dengan sebuah single raya terbaharu yang berjudul, Syawal Rindu, gandingan bersama Adira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya