KANGAR: Suasana di bilik rawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma seperti berada di wad hospital sebenar dengan kelengkapan katil yang selesa dan persekitaran menarik yang dihiasi mural berkaitan profesion kesihatan.
Naik taraf bilik rawatan tersebut adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan Institut Jantung Negara (IJN).
Projek naik taraf bilik rawatan berkenaan dimulakan pada 15 November lalu dengan penglibatan 16 kakitangan IJN bagi memastikan setiap aspek proses berkenaan memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan untuk kemudahan pelajar dan kakitangan sekolah.
Selain katil elektrik mudah laras dan kemudahan lain, ia juga dihiasi mural yang memaparkan pelbagai profesion perubatan seperti doktor, jururawat dan ahli farmasi untuk mencetus minat generasi muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Dr. Mohamad Ezani Md. Taib berkata, ia dilaksanakan menerusi program Catch ‘em Young membabitkan sekolah terpilih.
Katanya, program tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan jantung dan memperkenalkan kerjaya dalam bidang perubatan kepada pelajar sekolah luar bandar.
“Selain itu, ia juga memberi fokus kepada penyediaan kesihatan berkualiti dan inspirasi dalam bidang perubatan kepada generasi muda,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pengerusi IJN Holdings, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min.
Tambah Dr. Mohamad Ezani, SMK Derma merupakan sekolah ketiga yang menerima manfaat daripada program tersebut pada tahun lalu selepas SMK Sultan Ahmad Shah di Cameron Highlands dan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Jerteh, Terengganu.
Katanya, selain SMK Derma, SMK Perlis juga dipilih sebagai penerima program ini, dengan sesi ceramah kerjaya sudah dilaksanakan sebelum ini.
Menurut Mohamad Ezani, ceramah tersebut melibatkan doktor dan jururawat IJN yang berkongsi pengalaman mereka dalam bidang perubatan bagi memberi inspirasi kepada pelajar untuk menceburi profesion tersebut.
“Program Catch ‘em Young juga menyediakan saringan kesihatan percuma kepada masyarakat setempat melibatkan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), gula darah, kolesterol, dan tekanan darah bagi mengesan risiko penyakit jantung lebih awal.
“Penyakit jantung adalah penyebab utama kematian di Malaysia. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan membantu masyarakat menjaga kesihatan jantung mereka dengan lebih baik,” ujarnya.
IJN juga merancang untuk memperluaskan program ini ke lebih banyak sekolah di seluruh negara sebagai usaha berterusan untuk memperkasa komuniti luar bandar dengan pendidikan kesihatan berkualiti.
Sementara itu, Pengetua SMK Derma, Haliah Othman berkata, pihaknya berterima kasih kepada IJN atas sumbangan tersebut dilakukan bagi menaik taraf bilik rawatan di sekolah tersebut.
Katanya, pihak sekolah menghargai usaha dilakukan institusi perubatan tersebut untuk keselesaan pelajar dan pada masa sama mampu menerapkan inspirasi dan impian pelajar ke arah bidang perubatan.
“Usaha dilakukan IJN ini dilihat mampu memupuk minat pelajar khususnya menerusi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk meneroka bidang perubatan.
“Usaha dilakukan IJN juga kita harapkan diteruskan menerusi program-program Kelab Doktor Muda sekolah dalam usaha menghasilkan lebih ramai profesional perubatan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Doktor Muda SMK Derma, Nur Izzati Irdina Norzaimi berkata, dia yang bercita-cita menjadi ahli farmasi melihat penaiktarafan bilik rawatan sekolah itu sebagai satu inisiatif positif pihak IJN kepada sektor pendidikan.
Menurut Nur Izzati Irdina lagi, usaha itu adalah pendedahan awal kepada ahli Kelab Doktor Muda SMK Derma dan menyokong aktiviti kelab dalam mempromosikan kempen kesihatan di sekolah.
Kata Nur Izzati Irdina lagi, dia berharap lebih banyak syarikat perubatan swasta turut mengadakan program tanggungjawab sosial korporat bagi menyemai minat mendalam dalam bidang perubatan. – UTUSAN