Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min, Kota Kinabalu kini dilengkapi dengan papan pintar interaktif atau bilik darjah digital seiring dengan pembudayaan digitalisasi dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.
Pemasangan papan pintar itu meliputi 38 bilik darjah dan dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM50,000 yang disalurkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Yang Dipertua PIBG, Voo Li Kiam berkata, melalui peruntukan yang diberikan pada tahun lalu kini, mereka telah siap memasang papan pintar di semua 38 bilik darjah yang ada di sekolah berkenaan.
Beliau berharap kelas yang lengkap dengan papan pintar sebegitu dapat meningkatkan minat pelajar di dalam kelas.
Sementara itu, Ewon berkata, beliau yakin inisiatif itu bukan hanya mewujudkan persekitaran interaktif dalam bilik darjah, tetapi menyediakan pelajar kepada dunia pekerjaan, perusahaan dan urusan harian yang semakin banyak menggunakan komponen digital. – UTUSAN