PETALING JAYA: Pasangan selebriti, Neelofa dan Haris Ismail terus meraih pujian dalam kalangan warganet selepas mendengar putera sulung mereka, Muhammad Bilal membaca surah Al-Fatihah dengan lancar.
Menerusi video yang tular di TikTok, Bilal telah membaca surah tersebut ketika ibunya, Neelofa menjelaskan tentang Al-Quran bersaiz besar yang diberikan oleh rakan artis, Betty Rahmad.
Tercuit hati mendengar bacaan si kecil itu, rata-rata warganet telah meluahkan rasa kagum malah memuji Neelofa dan Haris yang berjaya mendidik anak mereka mendekati Al-Quran serta menghafal surah lazim sejak kecil.
“Sebutan dan makhraj Bilal macam sudah umur 9 atau 10 tahun. Bagus mak ayah didik dari kecil. Jadi anak soleh ya Bilal dan Abbas,” komen warganet.
“Jelas makhraj dan sebutan. Masha Allah, abang Bilal seindah namanya,” puji seorang netizen.
“Masha Allah, Bilal pandainya baca Al-Fatihah. Tak pelat pun,” kata netizen.
Sekadar info, Neelofa dan Haris telah mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 4 dan Abdullah Abbas, 2.-UTUSAN