Bidaah tidak merujuk kepada mana-mana agamawan, kumpulan ajaran sesat - Erma Fatima - Utusan Malaysia

Bidaah tidak merujuk kepada mana-mana agamawan, kumpulan ajaran sesat – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Menjadi perbualan dan kecaman ramai, pengarah, Erma Fatima, menegaskan bahawa drama Bidaah tidak merujuk kepada mana-mana agamawan atau kumpulan ajaran sesat.

Menurut Erma, menerusi drama itu, dia menekankan mesej mengenai penunggang agama yang merosakkan akidah orang lain demi memenuhi kepentingan diri sendiri.

“Saya bukan bercerita tentang guru yang betul-betul mursyid, saya bercerita tentang penunggang agama yang merasakan diri mereka itu guru namun tidak layak untuk digelar sebegitu.

“Mereka inilah yang merosakkan akidah orang hanya untuk memenuhi kepentingan diri. Kisah ini tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan ajaran sesat, ini adalah olahan kami sendiri,”ujarnya.

Menurut Erma, drama tersebut dihasilkan semata-mata untuk memberi pengajaran terhadap penonton tentang segelintir individu yang didakwa menggunakan agama demi kepentingan diri.

“Ulama yang sebenar tidak melakukan itu, janganlah hanya kerana lilitan serban dan pakaian mereka di dalam drama ini dianggap kami memerli.

“Tidak sama sekali, saya menghormati mereka. Saya bukan menentang agama Islam, saya menentang ajaran sesat dan penunggang agama.

“Saya orang Islam, saya tidak pernah berniat untuk menjatuhkan agama mahupun ulama yang sebenar,”katanya.

Dalam pada itu, penerbit terkemuka itu berpendapat, pakaian seseorang tidak melambangkan keperibadian mereka.

Berikutan itu, kata Erma, dia mengetengahkan watak-watak yang berselindung di sebalik imej Islamik.

“Pakaian seseorang yang beriman adalah ilmu dan akhlaknya. Walaupun serban dan jubah tetapi perangai buruk maka, dia bukanlah guru mahupun ulama. Itulah apa yang saya tonjolkan.

“Pakaian itulah yang memperdayakan orang kerana mereka anggap itu adalah kemuliaan seseorang.

“Jangan anggap seseorang itu berserban dan berjubah, maka dia adalah Islam sejati. Jadi, saya rasa drama ini wajar untuk dipaparkan kerana kita tak mahu ramai lagi orang akan terpedaya,”ujarnya.

Mengakui kesilapannya berikutan terdapat adegan yang melampau, Erma bagaimanapun berharap semua pihak dapat menonton drama tersebut sepenuhnya sebelum membuat tanggapan negatif.

“Berilah peluang kepada drama ini untuk melakukan sedikit tanggungjawab terhadap agama. Walaupun ada kesilapan kami tetapi janganlah menghukum Bidaah sehingga begitu.

“Mungkin ada adegan yang dikatakan keterlaluan, itu saya terima dan saya mohon maaf tetapi kami baru sahaja tayang tiga episod. Jadi tidak adil untuk menghukum hanya dengan tiga episod sahaja.

“Saya pun sudah minta pihak produksi untuk memadam adegan-adegan yang kurang baik,”katanya.

Terdahulu, drama Bidaah dikritik hebat oleh segelintir pihak dengan mendakwa terdapat babak yang keterlaluan selain memberi pandangan buruk kepada agama.

Drama yang ditayangkan di platrom OTat Viu tersebut menampilkan Vanidah Imran, Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya