PETALING JAYA: Drama bersiri, Bidaah telah mengungguli tempat pertama dalam carta platform penstriman Viu di Malaysia dan Indonesia sekali gus menjadikan naskhah itu drama paling popular.
Drama yang dibintangi oleh Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana ini juga berjaya meraih populariti yang luar biasa sehingga memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu Malaysia.
Dalam masa sama, drama terbitan Erma Fatima itu juga telah menduduki tangga pertama mengatasi drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group di platform Viu.
Malah, drama yang ditayangkan sejak 6 Mac 2025 itu turut meraih pujian dalam kalangan penonton Indonesia di media sosial yang dikatakan sangat relevan dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.
Bukan itu sahaja, data daripada Google Trends menunjukkan drama Bidaah juga menjadi antara carian paling popular di Thailand, Singapura, dan Brunei.
Drama bersiri tersebut telah dibintangi barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Riena Diana, Fattah Amin, Fazlina Ahmad Daud, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.
Sebelum ini, drama yang mengangkat kisah ajaran sesat itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet selepas tular babak panas Ummi Rabiatul lakonan Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein yang menjayakan watak sebagai Walid dengan kaki sambil berbaring di atas katil. -UTUSAN