SIK: Seorang buruh binaan bernasib baik apabila besi cerucuk yang dipacak untuk membina longkang tidak mengenai otaknya ketika dia terjatuh di sebuah kawasan pembinaan di Kampung Bukit Hangus, Jeneri.
Pengarah Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM). Mahadzir Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi tadi, melibatkan mangsa, Azlam Mahmood, 56, yang menaiki motosikal tiga roda ke tapak pembinaan itu di kawasan ladang kelapa sawit.
“Ketika menunggang motosikal, mangsa dipercayai hilang keseimbangan kerana jalan di kawasan itu tidak rata, menyebabkan motosikalnya terbalik.
“Mangsa terjatuh ke dalam parit yang dalam pembinaan dengan besi-besi untuk konkrit simen itu masih tercacak dan terus menusuk di bahagian rahangnya,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, penduduk yang melalui kawasan itu nampak kejadian berkenaan dan segera memberi pertolongan dengan memotong besi terbabit.
“Mangsa dalam keadaan sedar ketika anggota BSYJM memberi rawatan awal sebelum dia dihantar ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut. Anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan besi cerucuk jenis Y12 sepanjang hampir semeter itu,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pemotongan dilakukan dengan peralatan khas bagi mengelak kecederaan lebih serius.
Katanya, mangsa bernasib baik kerana besi itu tidak menembusi otaknya dan kini dia akan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud mengesahkan kejadian dan memaklumkan mangsa dalam keadaan stabil. – UTUSAN