MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulangi pendirian untuk bersikap inklusif dan terbuka menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak selagi prinsip perjuangan selari dengan matlamat parti.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, keutamaan Bersatu ketika ini adalah memperkukuh jentera dan menambah keahlian menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengenai kerjasama dengan UMNO perlu difahami dalam konteks yang lebih luas, iaitu berlandaskan prinsip perjuangan bersama.
“Datuk Seri Hamzah menyebut dua bentuk kerjasama iaitu melibatkan gabungan secara langsung dan satu lagi berkaitan dengan common course perjuangan.
“Syaratnya jelas, iaitu sejauh mana UMNO sanggup meninggalkan Anwar Ibrahim dan DAP serta kembali kepada prinsip asal memperjuangkan kepentingan Islam, Melayu, dan rakyat,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Program Prihatin Ramadan Penerangan Bersatu Malaysia di Dataran Baitul Tariq, Klebang, di sini malam semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Tun Faisal turut memaklumkan bahawa program turun padang ke seluruh negara yang dilaksanakan Penerangan Bersatu adalah sebahagian daripada usaha menyusun semula kekuatan parti menjelang PRU-16.
“Kami turun ke negeri-negeri bagi memastikan jentera di semua peringkat tersusun rapi. Untuk menang pilihan raya, kita perlu menambah keahlian dan memperkukuh cawangan, dan ini sebahagian daripada gerak kerja ke arah itu,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 21 cawangan Baharu Bersatu di Melaka menyerahkan borang keahlian, menunjukkan trend sokongan yang semakin meningkat terhadap parti.
Tun Faisal juga menyatakan, selain menarik lebih ramai ahli dalam kalangan penyokong PN seperti Pas, Bersatu turut memberi perhatian kepada NGO Melayu sebagai rakan strategik dalam menghadapi cabaran politik semasa.-UTUSAN