GEORGE TOWN: Seorang doktor pakar forensik di sebuah hospital kerajaan sekali lagi direman polis atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.
Doktor berusia 43 tahun itu yang turut melakukan kerja-kerja perubatan secara sambilan di klinik swasta telah direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, mangsa, seorang wanita membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas menyedari doktor tersebut adalah orang yang sama yang melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap dirinya di sebuah klinik swasta, tahun lalu.
Sebelum ini, doktor yang sama ditahan polis pada 26 Februari lalu susulan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja di sebuah hospital.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pada Selasa lalu, kira-kira pukul 10.16 malam, seorang wanita warga tempatan berumur 30 tahun membuat laporan polis tentang satu kejadian kelakuan tidak senonoh oleh doktor terhadapnya di sebuah klinik swasta di kawasan Pulau Tikus.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 28 Jun 2023, kira-kira pukul 6.30 petang di mana mangsa telah pergi ke klinik tersebut untuk mendapatkan laporan keputusan ujian darah.
“Mangsa telah berjumpa dengan suspek yang bertugas sebagai doktor dalam bilik rawatan lalu diperdaya oleh suspek untuk membuka baju dan berlari setempat atas tujuan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek juga disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kesihatan.
“Suspek seorang doktor lelaki warga tempatan telah ditangkap semalam, kira-kira pukul 9.15 malam di IPD Timur Laut,” katanya yang memberitahu, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.-UTUSAN