PONTIAN: Isu berkaitan sentimen rakyat perlu diberikan perhatian dan tidak boleh diambil mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April depan.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana sentimen pengundi boleh berubah mengikut keadaan semasa terutama melibatkan isu-isu di kawasan mereka.
Katanya, semua jentera UMNO yang akan membantu kempen PRK tersebut perlu berusaha gigih dan tidak mengambil mudah serta sedia menyelesaikan isu berbangkit yang ada di kawasan DUN Ayer Kuning.
“Mengambil contoh PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang pada tahun 2024, terdapat isu bekalan air kurang dan cadangan tarif air naik yang menjadi bahan kempen oleh pihak lawan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa DUN Pulai Sebatang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menambah, sekiranya isu-isu tersebut gagal diselesaikan dengan baik, ia akan menjadi ‘peluru’ kepada pihak pembangkang.
“Setakat ini UMNO belum dimaklumkan sebarang isu semasa yang terdapat di kawasan tersebut oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Tapah,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Katanya, UMNO Johor telah diberikan tanggungjawab menguruskan dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) angkat dalam UMNO Bahagian Tapah iaitu Tanjung Keramat dan Changkat Petai.
“Kita akan menetapkan UMNO bahagian mana yang akan menjaga kedua-dua PDM tersebut nanti di mana sebelum kita memilih bahagian tertentu sahaja yang akan pergi pada PRK di luar Johor.
“Pada PRK Ayer Kuning kali ini, saya akan mengetuai gerak kerja UMNO Johor bersama Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Dr. Puad Zarkashi,” ujarnya. – UTUSAN