MELAKA: Perubahan trend pembelian dalam talian (online) kian memberi kesan kepada para peniaga Bazar Aidilfitri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, yang mana ramai mengakui pendapatan mereka merosot sejak tahun lalu.
Peniaga pakaian, Mohd. Ali Nur Bidar, 37, berkata, jualannya merudum lebih 50 peratus sejak 2023 sehingga memaksanya beralih kepada perniagaan makanan untuk terus bertahan.
“Saya sudah berniaga lebih 15 tahun, tapi sejak tahun lepas keadaan berubah. Dulu meriah, sekarang lengang.
“Saya cuba buat jualan dalam talian tapi tidak kena dan tidak sesuai dengan usia dan cara saya, tak semua orang boleh buat live (siaran langsung),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebaliknya, peniaga muda seperti Hairen Roslan, 22, pula berkata, mereka perlu cepat menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
“Saya ikut trend, cuba buat live di media sosial dan alhamdulillah, ada hasilnya. Zaman sekarang semua online, kalau kita tak ikut, susah hendak bersaing,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati, masih ramai pengunjung yang setia dengan bazar Aidilfitri kerana kelebihan melihat dan menyentuh barangan sebelum membeli.
Aidil Azmi, 31, berkata, membeli pakaian dan kasut secara fizikal lebih memuaskan kerana boleh mencuba terlebih dahulu berbanding pembelian dalam talian yang berisiko.
“Kalau kuih raya, di bazar boleh rasa dulu. Online lebih murah, tapi selalu bila barang sampai, tak sama dengan yang diiklankan. Saya lebih yakin beli di bazar sebab boleh tengok sendiri kualiti barang.” katanya.
Bagi Nizam Kamarudin, 28, pula, bazar tetap menjadi pilihan utama kerana lebih banyak variasi produk.
“Saya suka tengok depan-depan, puas hati. Terlalu banyak pilihan di bazar, rasa lebih berbaloi beli di sini.” katanya.
Namun, segelintir pelanggan seperti Mohamad Hayattullah Mohd Noor, 35, mengakui, dia lebih selesa membeli dalam talian kerana murah dan menjimatkan masa.
“Saya datang bazar hanya untuk buat perbandingan harga, lepas itu beli online. Lebih mudah dan jimat. Online lebih murah sebab tiada kos kedai, boleh beli sambil santai di rumah,” katanya.
Peniaga kini berharap kehadiran pengunjung akan meningkat dalam tempoh seminggu terakhir Ramadan, yang biasanya menjadi waktu puncak jualan mereka. – UTUSAN